SELAYANG – Dua rakan masing-masing warga Myanmar dan India didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas pertuduhan membunuh pemandu grab Aiman Nosri yang mayatnya ditemui dalam kereta miliknya bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh iaitu warga Myanmar, Sua Lay,33, dan Gurpreet Singh,23, yang merupakan warga India selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu dihadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.
Sua bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Borong Selayang manakala Gurpreet merupakan kelindan lori.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah melakukan bunuh ke atas Aiman,27, di tempat letak kereta lorong belakang Blok C, Taman Selayang Makmur, Selayang Baru, Batu Caves di sini pukul 10.08 malam pada 21 Jun lalu.
Berikutan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding itu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik.
Kosmo! 25 Jun lalu melaporkan kehilangan seorang pemandu Grab sejak 23 Jun lalu terjawab selepas Aiman ditemui mati dalam kereta miliknya di tempat letak kenderaan kawasan perumahan Taman Selayang Baru di sini.
Aiman yang juga pemegang Diploma Industri Multimedia daripada Universiti Selangor (Unisel) ditemui pada pukul 8.20 malam dalam keadaan terlangkup di tempat duduk penumpang belakang dalam kereta jenis Perodua Myvi. – K! ONLINE










