Dua guru melecur, seorang dikhuatiri mati rentung selepas kuarters didiami terbakar - Utusan Malaysia

Dua guru melecur, seorang dikhuatiri mati rentung selepas kuarters didiami terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MIRI 25 Julai – Dua guru cedera akibat melecur, manakala seorang lagi rakan setugas mereka dikhuatiri mati rentung selepas dua kuarters kediaman yang didiami di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Bungan, Mulu di sini, terbakar awal pagi ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan tentang kebakaran itu pada pukul 5.30 pagi.

Walau bagaimanapun, katanya, disebabkan lokasi kebakaran terletak jauh di pedalaman, maka pihaknya tidak dapat menghantar bantuan segera untuk menjalankan operasi menyelamat dan pemadaman.

“Usaha memadam kebakaran dua unit kuarters itu telah dilakukan oleh pasukan bomba Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dari Lapangan Terbang Mulu yang tiba pada pukul 5.40 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Menurut Poh Kiong, salah seorang penghuni kuarter terselamat yang bertugas sebagai pembantu operasi di sekolah berkenaan, Awang Ishak memaklumkan kebakaran disedari berlaku pada pukul 5.09 pagi.

Katanya, Awang memaklumkan kebakaran bermula di bahagian ruang tamu berdekatan dapur dari rumah bersebelahan.

Beliau berkata, terdapat lapan individu mendiami kuarters berkenaan dan dua guru yang dilaporkan cedera dikenali sebagai Siti Masrina da Syuhadah.

“Pihak bomba DCA turut menjumpai tulang dipercayai milik seorang guru yang gagal dijumpai dalam kebakaran tersebut yang dikenali sebagai Catherine, namun ia belum dapat disahkan sehingga laporan bedah siasat diperoleh,” katanya.

Tambah Poh Kiong, Catherine mendiami kuarters sama tetapi mengajar di SK Penghulu Baya Mallang terletak berdekatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN