SUNGAI PETANI – Dua sahabat disyaki pengedar dadah berjaya dicekup dalam serbuan di sebuah rumah teres di Taman Bandar Mutiara di sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, polis merampas sebanyak 414 peket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk dadah dipercayai heroin seberat 405 gram dianggarkan bernilai RM8,280.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam memberitahu, serbuan dilakukan ke atas rumah tersebut selepas pihaknya membuat intipan selama dua minggu berdasarkan maklumat awam.
“Dalam serbuan itu, kita menemui satu beg plastik hitam mengandungi 414 peket plastik lutsinar berisi dadah tersebut di atas lantai di bilik utama rumah berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kuala Muda di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua suspek lelaki yang bekerja sebagai buruh itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah ini terutama di Flat Paya Nahu dan Taman Ria di sini sejak lima bulan lalu.
“Kita masih menyiasat dari mana bekalan dadah tersebut diperoleh dan sama ada kegiatan itu didalangi sindiket,” ujarnya.
Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama enam hari mulai hari ini hingga 21 Julai ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










