KUALA LUMPUR – Satu mayat wanita dikerat beberapa bahagian sebelum disumbat dalam dua bagasi berasingan ditemui di tebing Sungai Gombak di Jalan Ipoh berhampiran Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.
Penemuan mayat itu terbongkar selepas sekumpulan remaja gelandangan terhidu bau busuk sebelum ternampak kaki manusia daripada salah satu bagasi berkenaan pada pukul 11.30 pagi.
Satu sumber berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian pihak polis menemui tiga bagasi termasuk dua berisi badan manusia.
“Bagasi pertama berisi tangan, kaki dan kepala manakala bagasi kedua pula berisi badan sahaja.
“Mayat tersebut dibalut dalam plastik hitam sebelum dimasukkan dalam bagasi berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya lagi, bagasi ketiga yang berisi pakaian pula ditemui 100 meter dari bagasi berisi mayat, namun pihak polis tidak dapat mengesahkan sama ada ia milik mangsa berikutan tiada sebarang identiti dalam bagasi tersebut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superintendan Rudy Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, mayat itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
“Setakat ini, kita mengambil keterangan daripada tiga gelandangan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” ujarnya. – K! ONLINE










