PUTRAJAYA 20 Julai – Kementerian Pengangkutan hari ini mengumumkan pelantikan Dr. Nungsari Ahmad Radhi (gambar) sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, pelantikan itu telah diluluskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Nungsari yang juga merupakan anggota Mavcom sebelum ini mempunyai pengalaman luas dalam industri penerbangan dan bidang perniagaan.
“Saya mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih terhadap khidmat yang telah diberikan oleh Pengerusi Eksekutif yang terdahulu, Tan Sri Jeneral (B) Abdullah Ahmad yang telah memberikan khidmat sebelum ini. Beliau telah meletakkan jawatan.
“Saya yakin ramai bertanya tentang elaun yang diberikan kepada Pengerusi Eksekutif yang baharu, seiring dengan dasar ketelusan kita, elaun yang diberikan kepada Pengerusi Eksekutif baharu adalah RM15,000, ini adalah elaun yang sama diberikan kepada Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Jadi kita sama ratakan di antara dua badan berkaitan industri penerbangan, CAAM berhubung kait perkara teknikal manakala Mavcom dalam ekonomi dan pelesenan komersial, elaun mereka RM15,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan surat pelantikan kepada Nungsari di sini hari ini.
Sebelum ini, Anthony pernah dilaporkan berkata bahawa elaun Pengerusi Eksekutif Macvom akan disemak semula berikutan elaun yang diterima adalah kira-kira RM85,000 sebulan, iaitu empat kali ganda daripada gaji yang diterima Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Nungsari berkata, beliau menghargai kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan dan Kementerian Pengangkutan bagi menerajui Mavcom.
“Saya akan berusaha melaksanakan peranan suruhanjaya ini dengan lebih baik termasuk menangani isu kepenggunaan dan harga tambang penerbangan selain bekerjasama rapat dengan kementerian dalam pelbagai isu berkaitan industri penerbangan,” katanya.
Dalam isu berasingan, Anthony ketika ditanya pemberita mengenai cadangan AirAsia Berhad (AirAsia) untuk memindahkan operasinya dari Terminal Satu ke Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) berkata, cadangan berkenaan masih di peringkat kajian.
“Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes datang bertemu saya minggu lalu tetapi belum ada keputusan yang konkrit dicapai. Saya akan meminta Nungsari untuk melihat perkara ini,” katanya yang memberitahu perkara itu juga perlu melibatkan perbincangan dengan kerajaan negeri Sabah.










