KUALA LUMPUR 4 Julai – Tun Dr. Mahathir Mohamad kagum dengan sambutan luar biasa yang diterimanya semasa mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari pada akhir bulan lalu.
“Saya kagum dengan sambutan luar biasa kepada saya dan isteri serta delegasi dari Malaysia.
“Saya percaya bahawa pertemuan kita telah menghasilkan satu kesepakatan di dalam usaha untuk memartabatkan hubungan dua hala ke peringkat yang lebih kukuh. Terima kasih Bapak Jokowi,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian menerusi akaun Twitter miliknya di sini hari ini sambil berkongsi semula hantaran di dalam akaun Twitter milik Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 30 Jun lalu.
Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi menerusi akaun Twitter miliknya itu turut berkongsi gambarnya bersama Dr. Mahahir sedang menanam pokok meranti di halaman Istana Presiden di Bogor sambi mengharapkan pokok itu akan tumbuh kuat dan menjadi kenangan kehadiran Dr. Mahathir ke negara republik itu.
Pada 28 dan 29 Jun lalu, Dr. Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia yang juga merupakan negara pertama di Asia Tenggara selepas beliau menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei lalu. – UTUSAN ONLINE










