Dongeng kerajaan ular 'Sumpah Dewata Naja' jadi juara cerpen - Utusan Malaysia

Dongeng kerajaan ular ‘Sumpah Dewata Naja’ jadi juara cerpen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 22 JULAI – Kisah dongeng purbawara ‘Sumpah Dewata Naja’ yang mengangkat tema dendam dan cinta dipilih menjadi pemenang tempat pertama kategori cerpen Peraduan Penulisan Kreatif 2018 anjuran Kerajaan Negeri dan Gabungan Penulis Muda Kelantan (Gema).

Cerpen nukilan bekas pensyarah Bahasa Inggeris, Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik, 37, itu berjaya memikat panel hakim dengan plot yang baik, susunan kata sesuai dan garapan pemikiran cinta suci yang diadun dengan keluhuran kasih pada negara.

 Lebih menarik, ini adalah kejayaan wanita ini buat kali kedua berturut-turut selepas bergelar juara dalam pertandingan sama menerusi cerpen ‘Rahmat Sebuah Keikhlasan’ pada tahun lalu.

 Tuan Siti Mastazameatun yang kini merupakan Ketua Unit Jaminan Kualiti, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) berkata, dia mendapat inspirasi daripada karya klasik ‘Hikayat Gul Bakawali’ serta siri televisyen Hindi ‘Naagin’ untuk menghasilkan cerpen genre fantasi tersebut.

 “Tahun lalu cerpen saya adalah daripada genre keluarga dan pada kali ini saya mencabar diri sendiri untuk menghasilkan karya menggunakan bahasa dan istilah klasik.

 “Kebetulan semasa mengarang saya menonton cerita Naagin di televisyen lalu mendapat idea untuk menaikkan watak jelmaan ular sebagai tunjang utama cerita,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Kelab Suara Muda di sini semalam.

 Tempat kedua bagi kategori cerpen telah dimenangi oleh Mazita Md Nor menerusi karyanya, Mimpi Maria dan tempat ketiga, Ruhani Ismail (Pergi Tanpa Pesan).

 Hadiah saguhati kategori cerpen pula diperoleh Mohd Hafiz Ismail (Perginya Membawa Derita), Faridah Abdullah (Cinta Kasih Bonda), Dr Noor Huda Ismail (Champ Namanya) dan Nizhamuddin Mohd Zain (Menanti Hujan Teduh).

 Bagi kategori puisi, tempat pertama telah disandang oleh Nurain Fakhira Auni Dzulkifli menerusi sajak, Ketika Aku Melangkah Keluar; tempat kedua Nur Adibah Alia Seman (Kau Menjadi Benteng Dari Ombak Liar Itu) dan tempat ketiga Dr Nik Rozainah Nik Abdul Ghani (Harapan).

 Hadiah saguhati puisi pula dimenangi Ruzilawati Man (Sepohon Setia), Che Noorwani Che Wil (Tukang Sapu Itu Ayahku),  Rosnani Ripin (Berita Air Mata Di Bumi Ujian), Faridah Abdullah (Antara Dinding dan Kepercayaan) dan Ahmad Aiman Mohamed Razali (Burung-burung Itu Menghilang Pergi).

 Penerima hadiah saguhati puisi seterusnya adalah Maskor @ Rosnani Zakaria (Kedai Kopi Di Tepi Sawah), Ruhani Ismail (Saat Berangkat Pergi), Prof. Madya Dr. Norhayati Luddin (Perjalanan Sebuah Kehidupan), Zainun Yusoff (Doa Bonda) dan Mohd Rozi Ismail (Pepohon Usang).

 Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman telah menyampaikan hadiah berupa wang tunai dan sijil kepada para pemenang.

 Yang turut hadir, Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (Peradaban), Datuk A.Aziz Deraman; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur, Che Zainab Omar dan Ketua 1 Gema, Zainal Abidin Muhamad. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN