Donald Trump minta PM Britain saman EU - Utusan Malaysia

Donald Trump minta PM Britain saman EU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump (gambar kecil) memberitahu Perdana Menteri Britain, Theresa May bahawa beliau sepatutnya menyaman Kesatuan Eropah (EU) dan bukannya berunding dengan blok berkenaan, kata May semalam.

May berkata, pilihan ‘kejam’ Trump dalam rundingan Brexit adalah untuk menyaman Brussels sekali gus merungkai cadangan misteri oleh Presiden AS berkenaan yang membayangi pertemuan mereka dan lawatan empat hari beliau ke Britain.

“Beliau (Trump) membe­ritahu saya bahawa saya sepatutnya menyaman EU. Saman sahaja EU,” kata May kepada Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Pilihan yang diutarakan oleh Trump itu menjadi tanda tanya sejak beberapa hari lalu.

Dalam satu wawancara bersama akhbar The Sun menjelang pertemuannya dengan May pada Khamis lalu Trump berkata, beliau telah membe­ritahu May tentang cara untuk menangani EU tetapi Perdana Menteri Britain itu enggan mengikuti nasihatnya.

“Saya akan mela­kukannya dengan ber­beza (rundingan Brexit). Saya telah memberitahu May bagaimana cara untuk melakukannya tetapi beliau tidak bersetuju. Beliau tidak mendengar nasihat saya. Beliau mahu mengambil jalan lain,” kata Trump.

Dalam satu sidang akhbar selepas pertemuan mereka Jumaat lalu pula, Trump me­nukar kenyataan dan berkata, beliau hanya memberikan cadangan kepada May dan bukannya menasihati pemimpin tersebut.

“Mungkin beliau mendapati cadangan saya terlalu kejam,” katanya tanpa mengulas lanjut.

“Saya faham mengapa beliau (May) menganggapnya sukar dan mungkin suatu hari nanti, beliau akan melakukannya. Sekiranya mereka gagal mencapai persetujuan yang wajar beliau mungkin akan mengikuti cadangan saya tetapi ia bukan sesuatu yang mudah,” tambah Trump.

United Kingdom dijadualkan meninggalkan EU pada Mac 2019.

Cadangan May untuk hu­bu­ngan London-Brussels di masa hadapan yang disiarkan pada Khamis lalu menjangkakan persetujuan bersama EU melibatkan perjanjian berbeza dalam bidang berlainan.

Pelan itu akan menyaksikan Britain dan EU mengekalkan undang-undang sama untuk barangan bagi memastikan kelancaran perdagangan termasuk dalam bidang pertanian, makanan dan produk perikanan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN