Doakan baba selamat pulang - Anis Athirah - Utusan Malaysia

Doakan baba selamat pulang – Anis Athirah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 30 Julai – Anak kepada sukarelawan misi solidariti flotila ‘Right to A Just Future for Palestine’, Prof. Madya Dr. Mohd. Afandi Salleh yang kini ditahan tentera laut Israel di pesisir pantai Gaza mendoakan agar bapanya selamat dan pulang ke tanah air.

Anis Athirah Mohd. Afandi, 18, berkata, meskipun sedar tentang risiko pemergian ayahnya dalam misi itu,  hatinya bimbang dan sentiasa berdoa kerana tiada apa yang lebih diharapkan oleh keluarga kini melainkan ingin melihatnya kembali di sisi mereka.

Menurut Anis Athirah kali terakhir dia bersama bapanya adalah ketika menghantar rombongan sukarelawan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 15 Julai lalu.

“Setakat ini saya tidak ada sebarang maklumat tentang baba, cuma dimaklumkan serba sedikit oleh ibu dan kakak yang berada di Kuala Lumpur.

“Saya tidak ikut ke sana kerana perlu mengikuti kelas di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Semalam, tentera laut Israel dipercayai telah menawan kapal flotila Al-Awda yang membawa 116 kargo ubat-ubatan ke Gaza serta 22 anak kapal termasuk Mohd. Afandi.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCare), Kamarul Zaman Shaharul Anwar dilaporkan berkata, pihaknya terputus hubungan dengan wakil tunggal sukarelawan Malaysia itu selepas kapal yang dinaikinya dihampiri empat buah kapal perang Israel pukul 7.15 petang di 53 batu nautika (kira-kira 110.5 kilometer) dari pesisir pantai Gaza.

Mohd Afandi merupakan Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA telah berlepas ke Palermo, Italy bagi menyertai siri terakhir flotila ke Gaza bersama aktivis daripada pelbagai negara.

Kapal flotila Al-Awda yang berlayar menggunakan bendera Norway membawa 22 aktivis dari 16 negara termasuk penyokong hak asasi manusia, wartawan, krew di samping kargo ubat-ubatan bernilai Euro 13,000 (RM61,554) bagi diserahkan kepada penduduk Gaza melalui program #Gauze4Gaza.

Kapal flotila Al-Awda ini merupakan kapal nelayan dari Norway yang telah diubah suai dan akan diserahkan kepada nelayan di Gaza. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN