JOHOR BAHRU 21 Julai – Akibat memotong di hadapan sebuah motosikal lain ketika beratur di Pusat Pemeriksaan Imigresen, Woodlands, Singapura, seorang pemuda berusia 22 tahun diserang dengan gergaji sehingga menerima 24 jahitan di tangan kirinya.
Lebih malang lagi, kecederaan dialaminya itu menyebabkan dia hilang fungsi ibu jari tangan kirinya yang kini tidak dapat digerakkan.
Menurut mangsa, Lai Kok Thon, pada 31 Mei lalu, dia bertindak memotong sebuah motosikal di hadapannya sebelum membangkitkan kemarahan seorang penunggang motosikal lain yang berusia 40-an.
Katanya, penunggang itu kemudian melanggar bahagian belakang motosikalnya sebelum menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka berdua.
“Dalam situasi tersebut sudah menjadi perkara biasa kerana semua motosikal bersesak-sesak, namun penunggang itu menjerit dan kami bertengkar.
“Dia sempat memberitahu saya untuk bertemu dengannya selepas keluar dari Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia untuk menyelesaikan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor Bahru, Michael Tay Chee Boon.
Tambah Kok Thon, selepas keluar dari Bangunan Sultan Iskandar (BSI), penunggang tersebut menunggunya di tepi jalan dengan memegang satu gergaji.
“Saya bertemu dengannya untuk menyelesaikan perkara itu sebelum berlaku pertengkaran kerana bimbang keselamatan diri kerana dia memegang gergaji, saya bertindak menumbuknya terlebih dahulu bagi menyelamatkan diri.
“Selepas itu saya dipukul menggunakan gergaji itu di beberapa bahagian tubuh badan saya,” dakwanya yang sudah bekerja di Singapura sejak dua tahun lalu.
Ekoran kejadian itu, Kok Thon terpaksa menanggung bil perubatan berjumlah RM22,000 selain perlu menjalani satu pembedahan lain bagi mengembalikan fungsi ibu jari tangan kirinya.
Katanya, sehubungan itu pihaknya mahu bersemuka dengan penunggang terbabit bagi menuntut ganti rugi atas kecederaan yang dialaminya.
Sementara itu, Chee Boon memberitahu, pihaknya sudah berhubung dengan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais yang memaklumkan polis akan memanggil dua saksi kejadian bagi membantu siasatan.
“Polis telah mengambil maklum akan laporan polis yang dibuat Kok Thon dan dua saksi kejadian akan dipanggil membantu siasatan esok,” ujarnya.










