Dibunuh gara-gara berita palsu WhatsApp - Utusan Malaysia

Dibunuh gara-gara berita palsu WhatsApp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI 30 Julai – Gara-gara penyebaran berita palsu menerusi aplikasi WhatsApp, seorang pe­kerja di firma perkhidmatan perunding global Accenture maut selepas diserang oleh 200 penduduk kampung di Murki baru-baru ini.

Mohammed Azam, 32, merupakan mangsa terbaharu sera­ngan beramai-ramai yang berpunca daripada penyebaran be­rita palsu berkaitan penculikan kanak-kanak dalam WhatsApp.

Kerajaan India menjelaskan, mereka tidak mempunyai maklumat mengenai pembunuhan beramai-ramai yang dirancang tetapi portal IndiaSpend merekodkan lebih 30 kematian daripada 70 kes telah dicatatkan sejak Januari tahun lalu.

Pentadbiran Perdana Menteri India, Narenda Modi yang dikritik hebat oleh parti pembangkang dan orang awam kerana gagal menghalang insiden seumpama itu daripada terus berlaku bertindak menyalahkan WhatsApp ke­rana gagal menyekat berita-berita palsu dalam aplikasi berkenaan.

Pada 20 Julai lalu, WhatsApp menyatakan telah mengehadkan berapa kali seseorang pengguna boleh menularkan mesej yang diterima di India.

WhatsApp juga mempertimbangkan perubahan lain bagi menangani isu penyebaran berita palsu namun masih belum jelas bagaimana langkah berkenaan akan mengurangkan kejadian pem­bunuhan beramai-ramai yang dirancang.

Menyingkap kejadian berkenaan, Mohammed Azam bersama empat lagi rakannya dikatakan diserang kerana memberi coklat kepada sekumpulan kanak-kanak ketika melalui sebuah kampung.

Berikutan itu, gambar Mohammed Azam dan rakan-rakannya mulai tersebar dalam kalangan penduduk kampung menerusi aplikasi WhatsApp selain mesej yang berbunyi: ‘Penculik kanak-kanak dijumpai di Murki’.

Serangan itu berlaku ketika sekumpulan lelaki tersebut berhenti untuk mengambil gambar, apabila tiga orang penduduk kampung bertindak membocorkan tayar kereta milik mereka.

“Kami bertanyakan kepada mereka mengapa bertindak sedemikian. Mereka menjerit me­nuduh kami penculik kanak-ka­nak,” kata Mohammed Afroz, salah seorang daripada mangsa yang terselamat.

Ketika cuba membuktikan diri mereka tidak bersalah, puluhan penduduk kampung mula berkumpul di sekeliling sekumpulan lelaki berkenaan malah ada sesetengah daripada penduduk membawa kapak dan kayu.

Menurut seorang pegawai polis, Inspektor V.B. Yadwad, dia bersama tujuh lagi anggota polis bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan kelima-lima lelaki terbabit. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN