LONDON 14 Julai – Bongkah ais gergasi dilaporkan menghampiri kawasan perkampungan Innaarsuit di barat Greenland, sekali gus mencetuskan kebimbangan ia akan terbelah dua dan mengakibatkan berlakunya ombak besar.
Lapor BBC, bongkah ais berkenaan kelihatan lebih tinggi berbanding rumah-rumah di perkampungan tersebut tetapi ia tidak bergerak sejak malam Khamis.
Menurut pegawai tempatan, mereka tidak pernah melihat bongkah ais sebesar itu.
Pada musim panas lalu, kira-kira empat orang terkorban selepas ombak besar melandar kawasan barat laut Greenland susulan gempa bumi.
Sementara itu, seramai 169 penduduk yang tinggal berdekatan dengan bongkah ais itu telah dipindahkan.
“Terdapat rekahan dan lubang yang membuatkan kami khuatir ia akan terbelah bila-bila masa sahaja,” kata ahli majlis perkampungan tersebut, Susanne Eliassen kepada akhbar tempatan, Semitsiaq.
Dalam perkembangan sama, sesetengah pakar memberi amaran kejadian bongkah ais seumpama itu kian kerap berlaku ekoran perubahan iklim.
Berikutan itu, wujud kemungkinan risiko berlakunya tsunami kian meningkat.










