Di mana silapnya? - Utusan Malaysia

Di mana silapnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KELMARIN, Sabtu 14 Julai 2018, negara dikejutkan dengan kemalangan yang mengerikan di Kilometer (KM) 446 Lebuh Raya Utara Selatan, Rawang, Selangor. Empat maut, satu parah dan tiga cedera. Melibatkan enam buah kenderaan.

Punca kemalangan adalah kerana sebuah treler membawa kenderaan melanggar sebuah kereta di hadapannya dan terbabas masuk ke laluan bertentangan. Tidak semena-mena orang yang tidak bersalah yang berada di laluan bertentangan menjadi mangsa.

Kematian rakyat adalah satu kerugian kepada negara. Kerana setiap rakyat ada sumbangan masing-masing kepada negara. Antara yang maut semalam adalah tiga rakan sebaya yang berusia masih muda berusia 24 tahun. Negara kita telah kehilangan anak-anak muda yang mungkin antara bakal menjadi penyumbang besar kepada negara satu hari nanti. Wallahualam…

Memang benar hidup dan mati semuanya telah ditentukan oleh Ilahi. Tetapi kita tidak boleh menggunakan alasan itu untuk menghalalkan kematian orang yang tidak bersalah.

Dan kita serahkan kepada qada dan qadar sepenuhnya. Berserah kepada qada dan qadar adalah jalan terakhir setelah kita puas berikhtiar dan berusaha menggunakan akal yang dianugerahkan Allah SWT.

Ya benar! Mati telah ditentukan. Bagaimana pula yang cedera parah? Apabila cedera parah maka sudah tentu ia memberi kesan kepada kehidupan mangsa seumur hayat. Sekiranya mangsa panjang umur, mungkin mangsa boleh menjadi cedera kekal.

Kemalangan yang melibatkan lori mengangkut kenderaan yang kosong (tidak mengangkut sebarang kenderaan ketika kemalangan) yang berlaku itu adalah kali kedua berlaku dalam negara kita dalam tempoh tiga bulan. Pada Jumaat 13 April 2018 pada kira-kira pukul 3 petang ketika dalam perjalanan dari Shah Alam ke KLIA, saya melihat dengan mata sendiri kemalangan yang melibatkan lori jenis itu. Kejadian di KM 28.9 Lingkaran Tengah (ELITE) dari arah KLIA 
ke Putrajaya.

Corak kemalangan yang berlaku kelmarin di Rawang hampir sama dengan yang berlaku tiga bulan lepas. Cuma ia tidak melibatkan maut.

i) Lori mengangkut kenderaan kosong

II) Masuk ke laluan bertentangan.

III) Lori dipandu di lorong yang paling kanan.

Umum mengetahui, peraturan jalan raya negara kita telah menetapkan bahawa kenderaan berat tidak boleh dipandu di lorong paling kanan di lebuh raya. Namun begitu dua kemalangan yang berlaku ini, kedua-duanya melibatkan lori itu dipandu di lorong paling kanan. Sebab itulah ia dengan mudah dapat memasuki laluan bertentangan yang meragut nyawa insan tidak bersalah. Lori mengangkut kenderaan apabila dalam keadaan kosong, ia ringan. Atas sebab itulah mudah hilang kawalan dan terbabas ke arah bertentangan.

Persoalan yang paling utama di sini, kenapa memandu di lorong paling kanan? Sedangkan ia satu kesalahan.

Adakah pemandu tidak mempunyai lesen memandu?

Adakah pemandu menggunakan lesen terbang?

Adakah pemandu tidak diberi latihan secukupnya oleh majikan sebagaimana pemandu-pemandu lori tangki petroleum?

Adakah pihak berkuasa lalai dan tidak memandang serius perkara berkenaan?

Saya tidak berniat untuk memusuhi pemandu-pemandu lori. Saya hargai kerja dan sumbangan pemandu lori kepada rakyat dan negara. Saya tahu pemandu lori banyak menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan ekonomi negara. Tetapi sampai bilakah kita hendak membiarkan kemalangan begini terus berlaku.

Kepada pihak berkuasa kerajaan, jika tindakan undang-undang atau penguatkuasaan masih kurang berkesan, apa kata jika anda mengambil tindakan ‘bermesra dan berkawan’ dengan pemandu-pemandu lori. Pergilah menyelami hati dan perasaan mereka. Fahamilah apa masalah mereka. Bantulah mereka apa yang boleh dibantu. Didik dan bantulah mereka sehingga mereka menjadi insan yang bertanggungjawab.

Berkawan pun berkawan juga, tetapi undang-undang tetap perlu dipatuhi. Jangan hanya hendak tunjuk kuasa dan sifat ‘bengkeng’ sahaja dengan mereka. Ingat satu perkara, pemandu lori bukan semuanya orang jahat, bukan semuanya orang nakal. Tetapi semua pemandu lori adalah penyumbang kepada kemajuan dan perkembangan ekonomi negara. Jika tiada lori yang menjalankan perkhidmatan, dapat kita bayangkan apa akan terjadi kepada dunia perniagaan? Bukankah ia akan malap ? Apabila dunia perniagaan malap bukankah ia akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara?

Kepada keluarga mangsa yang terlibat, salam takziah diucapkan. Bersabar dan bertabahlah dalam menghadapi ujian dan dugaan ini. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka. Semoga kubur mereka diluas dan diterangkan, serta mereka akan dihimpunkan bersama orang-orang soleh dan bersama ibu bapa mereka di syurga kelak. Al-Fatihah.

MD. FAISAL

Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN