KUALA LUMPUR 26 Julai – Projek Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang diusahakan oleh Barisan Nasional (BN) bersama Alibaba Group Holding Ltd. (Alibaba) akan diteruskan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sejak insiatif DFTZ dilaksanakan, projek tersebut telah memberi impak positif untuk merealisasikan matlamat meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam transaksi e-dagang rentas sempadan.
Katanya, sehingga kini, lebih 3,300 PKS telah menyertai platform DFTZ.
“Pendirian kerajaan adalah kami akan teruskan dengan usaha-usaha, pelaksanaan dan inisiatif untuk memberikan manfaat kepada PKS melalui DFTZ.
“Pada masa sama, kerajaan juga akan terus memantau prestasi eksport PKS yang menyertai program ini bagi memastikan golongan tersebut berdaya maju untuk tempoh jangka panjang,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta kerajaan menjelaskan pendirian sama ada akan meneruskan inisiatif DFTZ.
DFTZ disasarkan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan menyediakan kemudahan e-dagang merentas sempadan untuk PKS, yang sebelum ini sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa. – UTUSAN ONLINE










