KETUA jurulatih skuad bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee secara berseloroh mengakui beliau memiliki ‘misi penting’ bertemu Korea Selatan untuk acara bola sepak Sukan Asia 2018 Indonesia bulan depan.
Ini kerana Kim Swee yang dikenali sebagai peminat tegar Arsenal sudah tidak sabar untuk bertemu penyerang Tottenham Hotspur, Son Heung-Min yang mewakili Korea Selatan nanti.
Terdahulu, pasukan negara telah diundi bersama Kyrgyzstan, Bahrain dan Korea Selatan dalam Kumpulan E acara bola sepak Sukan Asia 2018.
Korea Selatan telah menyenaraikan Heung-Min dalam skuad Sukan Asia 2018 sekali gus mengundang rasa teruja Kim Swee untuk membuat ‘perhitungan’ dengan bintang Spurs itu.
Kim Swee menyifatkan beliau bersama anak-anak buahnya bersedia menghalang misi Heung-Min untuk memenangi pingat emas Sukan Asia dalam usahanya menggelakkan diri dipanggil menyertai latihan ketenteraan negara itu.
Pengendali kelahiran Melaka itu menyifatkan ‘Derbi London’ akan berlaku tetapi pada masa sama menggesa anak-anak buahnya mengambil kesempatan memanfaatkan peluang selepas Heung-Min disahkan akan membuat penampilan di Indonesia bulan depan.
“Saya mahu ‘cederakan’ Son (Heung-Min). Mungkin akan berlaku ‘Derbi London’ di sana nanti. Saya berseloroh sahaja tetapi secara peribadi saya melihat kehadiran Son akan memberikan impak yang lebih kepada Sukan Asia.
“Ini menunjukkan kualiti Sukan Asia dan negara seperti Korea Selatan turut mengambil langkah yang serius apabila memanggil pemain yang bermain di Liga (Perdana) England.
“Ini menunjukkan betapa pentingnya Sukan Asia dan bagi kita, sudah pasti pemain-pemain akan teruja untuk menentang pemain-pemain ternama.
“Bagaimanapun ini tidak bermakna kita akan terlalu menghormati mereka di atas padang. Atas padang, kami bermain untuk negara dan sudah pasti kita mahu bersaing dengan pasukan-pasukan kuat seperti Korea Selatan.
“Pada masa sama, saya percaya ia juga adalah medan untuk pemain-pemain kita tunjukkan bakat kepada orang luar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, Kim Swee tidak mahu anak-anak buahnya tertekan dengan status juara bertahan, Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan yang telah menunjukkan kematangan di peringkat antarabangsa.
“Apa yang mustahak adalah kita harus fikirkan persiapan dan jika kita dapat kumpulkan pemain B-23 yang terbaik dan tiga pemain lebih umur, saya percaya kita mampu melakukan sesuatu.
“Jika sebaliknya, kita perlu berusaha dengan lebih keras dan sudah pasti semua pasukan khususnya Korea Selatan akan menurunkan barisan terbaik,” ujarnya.










