Demokrasi, parlimen dan kepembangkangan - Utusan Malaysia

Demokrasi, parlimen dan kepembangkangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu, kini tumpuan diberikan kepada sidang Parlimen iaitu Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama, Parlimen ke-14 2018 yang berlangsung pada 16 Julai sehingga 16 Ogos ini. 

Sistem demokrasi di negara diuji sekali lagi khususnya berkaitan amalan pengasingan kuasa di Malaysia.
Seperti yang kita sedia maklum, doktrin pengasingan kuasa melibatkan pemisahan kuasa antara institusi Legislatif (Parlimen), Eksekutif (kerajaan) dan Legislatif (Kehakiman). 
Walau bagaimanapun, dalam konteks pelaksanaan di Malaysia, berlaku pertindanan kuasa atau fusion of power apabila ahli Parlimen juga adalah ahli Kabinet dalam kerajaan. 
Perkara ini boleh memberi implikasi kepada pelaksanaan demokrasi kerana ia memungkinkan pihak eksekutif mempunyai kuasa yang sangat besar kerana mereka juga adalah pihak yang menggubal undang-undang.

Sidang Parlimen kali ini turut mencatat sejarah baharu apabila buat pertama kali pihak kerajaan dan pembangkang bertukar aktor. 
Perwakilan Barisan Nasional (BN) yang selama ini bertindak sebagai kerajaan kini menjadi pembangkang.
Sehingga artikel ini ditulis, BN selaku parti pembangkang yang memiliki kerusi Parlimen terbanyak masih belum memuktamadkan siapakah calon ketua pembangkang. 
Sebelum ini, terdapat ura-ura ia bakal disandang oleh Ahli Parlimen Rembau yang juga mantan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, namun menerusi satu kenyataan baru-baru ini beliau menegaskan tidak akan menerima tawaran tersebut.
Selain itu, terdapat tuntutan agar ketua pembangkang dinaiktaraf sebagai berstatus menteri, tetapi ditolak oleh kerajaan terdahulu. 
Bagaimanapun, tuntutan itu boleh menjadi kenyataan apabila agenda menaik taraf kedudukan ketua pembangkang sebagai bertaraf menteri telah dimasukkan dalam Manifesto Harapan.

Meskipun PRU-14 -telah memberi hak memerintah kepada Pakatan Harapan (PH), ia tidak bermakna kerajaan baharu ini mendapat sokongan penuh rakyat sekali gus menolak kepentingan parti pembangkang yang kuat. 
Hakikatnya, kewujudan pembangkang tidak dapat dielakkan dalam negara yang mengamalkan demokrasi. Robert A Dahl dalam bukunya Regimes and Oppositions menulis, iaitu no government is completely supported in all that it does by all the people whom it claims to govern. 
Persoalannya sekarang, bagaimanakah pembangkang boleh berfungsi secara lebih berkesan. Tidak dinafikan bahawa konsep pembangkang sering kali menjadi perdebatan. 
Perdebatan ini menimbulkan dua tanggapan berbeza terhadap peranan pembangkang. Pihak pertama melihat pembangkang sebagai pihak yang hanya tahu membangkang semata-mata tanpa memberikan sebarang cadangan dan alternatif. 

Pihak kedua pula melihat pembangkang dengan lebih positif, iaitu tugas mereka bukan sekadar mengkritik membuta-tuli, tetapi mesti memberikan kritikan yang efektif dengan cadangan bagi membetulkan dasar yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan.
Fungsi pembangkang selalu disalah tafsir sebagai to propose nothing, to oppose everything and to turn out the government. 
Fungsi sebegini dinyatakan oleh Ivor Jennings dalam bukunya yang bertajuk Parliament. Maka, timbullah label ‘pembangkang tanpa faedah’ yang hanya tahu mengkritik, menghentam pihak kerajaan dan mengeluarkan pandangan secara emosi tanpa rasional. 
Dalam konteks politik demokrasi, kewujudan pembangkang adalah salah satu ciri pentingnya, selain mengadakan pilihan raya yang bebas dan perjuangan menegakkan keadilan dan hak asasi manusia. 

Konsep kepembangkangan dilihat sebagai batu loncatan terhadap proses pembangunan demokrasi. Malah, kewujudan pembangkang sebagai bahagian penting dalam sebuah kerajaan demokrasi. Dalam kata lain, ketiadaan pembangkang bermakna demokrasi telah mati. 
Orientasi pembangkang dalam sebuah negara autokrasi dan demokrasi mempunyai perbezaan. John L. Esposito dalam naskhah popularnya, Islam and Democracy menjelaskan pembangkang dalam negara autokrasi bergerak secara agresif dan melancarkan konfrontasi termasuk menganjurkan siri keganasan untuk menentang kerajaan. 
Ini berbeza dengan orientasi pembangkang dalam sistem politik demokrasi apabila pendekatan mereka jauh lebih sederhana dan bergerak dalam kerangka sistem politik yang sedia ada. 

Berbalik kepada sidang Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi, peranan pembangkang sangat kritikal dalam menawarkan konsep semak dan imbang kepada kerajaan. Namun apa yang lebih penting, ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu menganjurkan perdebatan yang matang, rasional dan mengutamakan kepentingan negara atau rakyat berbanding parti politik masing-masing.
Kematangan perdebatan ini memungkinkan kita melihat seorang ahli Parlimen pembangkang menyokong usul kerajaan atau ahli Parlimen kerajaan boleh mengkritik dan membangkang usul pihak kerajaan sendiri dengan hujah dan rasional. 
Soalnya, bersediakah ahli Parlimen kita melaksanakan budaya baharu dengan mengenepikan prinsip kebertanggungjawaban bersama atau collective responsibility demi kepentingan rakyat?

Baru-baru ini, ahli Parlimen Masjid Tanah,  Datuk Mas Ermieyati Samsudin membuat kejutan apabila bertindak keluar UMNO kerana tidak mahu dibatasi dengan peraturan parti politik. 
Beliau yang juga mantan Ketua Pergerakan Puteri UMNO mahu menjadi Ahli Parlimen yang bebas menegur dan menasihati pihak kerajaan sebagai check and balance atas dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.
Apa-apa pun, kita mengucapkan selamat bersidang kepada semua ahli Parlimen bagi mesyuarat kali ini. 
Bagi ahli Parlimen baharu, pasti ini adalah pengalaman bermakna dan melengkapkan peranan mereka sebagai seorang wakil rakyat. 
Tunaikanlah amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin bagi membawa suara rakyat yang diwakilinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN