KUALA LUMPUR 16 Julai – Dasar, undang-undang serta polisi yang bersifat ‘tidak mesra’ kepada koperasi perlu dikaji semula atau dihapuskan agar institusi itu mampu tampil sebagai penyumbang ekonomi yang lebih berkesan kepada negara.
![]() |
|
Datuk Abdul Fattah Abdullah
|
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, setakat ini terdapat 28 garis panduan yang disyaratkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang perlu dipatuhi oleh semua gerakan koperasi.
Menurutnya, beberapa dasar yang sedia ada itu dilihat jelas telah membataskan peranan koperasi untuk mencapai prestasi maksimum seperti usaha untuk menjalankan perniagaan.
“Jika mahu jalankan perniagaan, koperasi kena tubuhkan anak syarikat. Proses itu mengambil masa yang panjang. Perlu melalui mesyuarat agung, selepas lulus kena dapatkan kebenaran SKM, baru boleh daftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Sekarang ini sumbangan sektor koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah kira-kira antara 3 hingga 4 peratus. Ia satu jumlah yang kecil, dan perlu dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











