KUALA LUMPUR 27 Julai – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) mencadangkan agar beberapa dasar dan polisi sedia ada diubah suai bagi memberi impak lebih besar dalam memperkukuh penyertaan usahawan muda dalam ekonomi negara.
Presidennya, Datuk Seri Gary Chua berkata, tidak semua pendekatan memerlukan pembiayaan besar atau perlu mengadakan program-program baharu.
“Kita faham bahawa pastinya terdapat jurang perbezaan hasil antara cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) namun itu adalah kehendak kerajaan justeru kita akur.
“Namun beberapa polisi termasuk pengambilan pekerja asing untuk bekerja dan bantuan-bantuan kewangan inilah sebenarnya merencatkan usahawan muda untuk terus maku ke hadapan,” ujarnya ketika sesi dialog MRCA bersama Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Gary berkata, antara dasar yang mungkin boleh dibincangkan ialah menentukan syarikat, termasuk milik bukan Bumiputera, yang mendapat konsesi atau pembiayaan kerajaan, memperkenal polisi diversiti.
“Ini bagi menentukan sebahagian projek dibahagikan kepada Bumiputera, dan agihan projek dibuat secara telus berasaskan merit menggunakan pendekatan bahagi dan bersaing sedia ada,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Redzuan berkata, kementerian baharu akan terus memperkasakan golongan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan nasib mereka terbela dalam bidang perniagaan.
“Kita harap MRCA akan wujudkan lebih banyak peluang dan bantuan kepada golongan itu agar mereka tidak akan tersisih,”ujarnya.-UTUSAN ONLINE










