Daripada basikal pinjam, Imran juara dunia Push Bike - Utusan Malaysia

Daripada basikal pinjam, Imran juara dunia Push Bike

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Julai – Bermula dengan kisah meminjam basikal milik anak pak ciknya sewaktu berusia empat tahun, tiada sesiapa pernah menjangka seorang anak Melayu dari Malaysia mampu menjadi juara dunia dalam pertandingan Push Bike Strider Cup 2018 yang diadakan di Amerika Syarikat, Sabtu lalu.

Memetik sumber dari laman Strider Bikes, terdapat lima kategori yang dipertandingkan untuk sukan basikal tolak tersebut dan bagi kategori terbuka basikal 14 inci ataupun 14x, ia menjadi milik Imran Ismail yang baru sahaja berusia tujuh tahun apabila dia dinobat sebagai juara dunia.

Menariknya lagi, peserta cilik dari Malaysia itu berjaya menewaskan 25 peserta dari 14 negara lain seperti Amerika, Thailand, Costa Rica, Vietnam dan pesaing paling sengit dari negara Jepun.

Ujar bapanya, Shariman Samad dalam satu kenyataan, Imran Ismail tidak menjalani sebarang rutin harian untuk berhadapan dengan kejohanan tersebut sebagai persediaan namun sering meluangkan masa bersama CAK Sports Academy untuk meningkatkan daya ketahanannya.

“Selain Amerika Syarikat, Imran Ismail pernah juga menyertai tiga lagi perlumbaan basikal tolak di peringkat antarabangsa seperti di Tokyo dan Bangkok dan untuk musim ini, ia merupakan penyertaan kali keempat bagi Ismail.

“Imran memiliki kelebihan dari segi pecutan dan bakatnya itu sudah mula dikenal pasti sewaktu mewakili Sekolah Kebangsaan Setiawangsa sebanyak dua kali dalam kejohanan IAAF Kids Athletics bawah tujuh tahun dan bawah sembilan tahun, sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut tentang sukan basikal tolak tersebut, ia mula diasaskan oleh syarikat pengeluar basikal tolak ataupun basikal imbang yang berpangkalan di Amerika Syarikat dengan gelaran Piala Strider dan perlumbaan yang melibatkan basikal dua roda tanpa pengayuh itu turut dikenali sebagai push bike atau balance bike di peringkat antarabangsa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN