KUALA LUMPUR 16 Julai – Jualan dana asing di Bursa Malaysia mencatat pengeluaran sebanyak RM531.8 juta pada minggu berakhir 13 Julai lalu, berbanding RM704.3 juta pada minggu sebelumnya.
Menurut MIDF Research, berdasarkan data awal daripada Bursa yang mengecualikan tawaran luar pasaran, jumlah yang dijual oleh dana global minggu lepas susut kepada RM531.8 juta.
“Ini adalah pengeluaran dana asing terendah yang dicatatkan sejak minggu berakhir 11 Mei 2018,” kata MIDF dalam Laporan Aliran Dana Mingguannya di sini hari ini.
Tambah firma penyelidikan itu, aliran keluar bersih dana asing kekal berada pada paras lebih RM100 juta untuk tempoh tiga hari pertama dengan jumlah jualan pada Selasa merupakan yang tertinggi pada minggu tersebut iaitu sebanyak RM177.4 juta.
MIDF berkata, aliran keluar dana asing menyusut di bawah RM100 juta pada Khamis dan Jumaat masing-masing kepada RM52 juta dan RM57 juta.
“Aliran keluar dana asing yang perlahan adalah disebabkan ‘lampu hijau’ yang diberikan kerajaan bagi projek LRT3 serta kemungkinan rundingan perdagangan antara Washington dan Beijing,” katanya.
Menurut MIDF, indeks FBM KLCI juga ditutup pada paras lebih 1,700 mata buat pertama kali sejak 20 Jun pada Khamis dan meneruskan trend peningkatan pada minggu tersebut.
Katanya, antara empat pasaran ASEAN yang dipantau MIDF, pengeluaran dana asing mingguan Malaysia sebanyak AS$131.9 juta (RM534.34 juta) bersih minggu lalu merupakan yang kedua terbesar selepas Thailand yang menyaksikan aliran keluar bersih AS$169.5 juta (RM686.31 juta).
“Namun begitu, Malaysia masih mempunyai aliran keluar dana asing bersih yang kedua terendah dalam ASEAN bernilai RM8.06 bilion selepas Filipina,” jelasnya.
Secara keseluruhan, pasaran Asia yang dibuka pagi ini jatuh disebabkan data yang menunjukkan pertumbuhan ekonomi China yang perlahan pada suku kedua tahun ini.
Ia menyaksikan Brent jatuh di bawah AS$71 (RM287.34) setong pada ketika spekulasi pentadbiran Presiden Donald Trump mahu mempertimbangkan untuk memanfaatkan bekalan minyak mentah rizab.
Petang ini, pasaran tempatan meningkat 4.74 mata ke paras 1,726.67 mata setelah dibuka tinggi 2.54 mata kepada 1,724.47 mata berbanding 1,721.93 semasa ditutup Jumaat lalu.
Bagi ringgit pula, ditutup RM4.0460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). Ringgit melepasi paras RM4.05 ketika ditutup Jumaat lalu.










