SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menegaskan hak pengundi berdaftar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis tidak akan terjejas meskipun masih terdapat bekas kesan dakwat Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada jari mereka.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata, pengundi tidak perlu bimbang kerana pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya berkaitan perkara ini termasuk akan mengadakan taklimat mengenainya kepada semua petugas pilihan raya.
Beliau berkata, setiap pengundi akan diperiksa jarinya untuk memastikan jari mereka bebas daripada sebarang tanda dakwat sebelum diberikan kertas undi.
“SPR sedar bahawa berikutan proses PRU-14 yang lalu, terdapat sesetengah pengundi yang sehingga kini masih mempunyai bekas kesan dakwat dijari atau kuku mereka.
“Bagi PRK ini, sekiranya dibuktikan bahawa kesan dakwat itu adalah bekas kesan lama yang digunakan pada PRU-14 dan bukannya kesan dakwat yang baharu, maka petugas pilihan raya akan membenarkan pengundi terbabit mengundi selagi nama mereka dalam senarai daftar pemilih belum dibuat penandaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Othman, proses pengundian pada PRK 4 Ogos ini akan dihadiri dan disaksikan oleh wakil-wakil calon yang bertanding.
“Selain itu juga, pemerhati-pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada beberapa organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR akan turut menyaksikan proses berkenaan.
“SPR berharap para pengundi di DUN Sungai Kandis ini dapat menjalankan tanggungjawab mengundi pada hari mengundi dengan selesa tanpa merasa bimbang,” ujarnya. – K! ONLINE










