SUBANG JAYA – Berita mengenai penangkapan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low oleh pihak berkuasa China perlu disahkan terlebih dahulu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya perlu mengesahkan perkara tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Saya belum menerima sebarang makluman berkenaan tangkapan tersebut jadi semakan perlu dibuat terlebih dahulu dan saya tidak boleh memberikan sebarang komen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penangkapan ahli perniagaan tersebut seperti dilaporkan oleh media antarabangsa yang mendakwa ia telah dibuat oleh pihak berkuasa China.
Terdahulu, dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kenderaan EMPV (Kenderaan Peronda Lebuh Raya) di Menara Persada Plus di sini hari ini, Mohamad Fuzi menegaskan bahawa Notis Merah kepada Interpol telah dikeluarkan bagi mengesan kedudukan ahli perniagaan tersebut.
Fuzi berkata, notis merah berkenaan telah diserahkan kepada Interpol pada 11 Jun lalu.
“Setakat ini lokasi tepat Jho Lo masih belum dikenal pasti memandang kami tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung kedudukan beliau.
“Berdasarkan risikan, beliau disyaki berada di beberapa negara seperti Taiwan, Hong Kong, Macau dan China,” ujar beliau.
Bagaimanapun, menurut beliau lokasi sebenar kedudukan ahli perniagaan berkenaan masih belum dapat diikenal pasti. – K! ONLINE









