KUALA LUMPUR 18 Julai – Sembilan individu yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah ditahan bersama sepucuk revolver dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Taman Jinjang, Sentul di sini Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, dalam serbuan pada pukul 9.30 malam itu pihaknya menahan tujuh lelaki dan dua wanita selain menemukan sejumlah methamphetamine dan ekstasi di kediaman tersebut.
“Dalam serbuan ini, polis menemukan methamphetamine seberat 5.37 gram bernilai RM550, sebiji pil ekstasi seberat 0.86 gram bernilai RM50, sepucuk pistol dan enam butir peluru.
“Kesemua dadah yang dirampas bernilai RM600 manakala mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 27 hingga 53 tahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Munusamy memberitahu, hasil ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, hasil siasatan terhadap kesemua suspek mendapati, mereka mempunyai pelbagai rekod melibatkan jenayah dan narkotik sebelum ini.
“Buat masa ini polis masih menjalankan siasatan terperinci sama ada mereka terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah atau pun tidak,” ujarnya.
Munusamy menjelaskan, kesemua suspek direman selama lima hari bermula semalam hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.










