Croatia tetap disambut meriah penyokong di tanah air - Utusan Malaysia

Croatia tetap disambut meriah penyokong di tanah air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZAGREB 17 Julai – Ratusan ribu rakyat Croatia yang menyarung jersi skuad bola sepak mereka berwarna merah dan putih berserta skaf membanjiri jalan di ibu negara, semalam, bagi menyambut kepulangan skuad kebangsaan yang mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya sehingga ke perlawanan akhir Piala Dunia di Rusia.

Croatia mempamerkan prestasi terbaik pada pertandingan itu setelah tewas kepada Perancis di final, dan pencapaian tersebut mengatasi kedudukan ketiga yang pernah dicatat Vatreni pada 1998.

“Mereka tewas dalam perlawanan akhir, tetapi berjaya menakluk dunia,” lapor akhbar harian Croatia, Jutarnji List mengenai pencapaian cemerlang yang dipamerkan skuad kebangsaan.

Upacara sambutan tersebut telah disiarkan secara langsung di stesen televisyen bermula daripada kapal terbang yang membawa pasukan diiring oleh dua jet pejuang sebaik mereka memasuki ruang udara Croatia, berhampiran lapangan terbang Zagreb.

Sebaik kapal terbang itu mendarat, pancutan meriam air telah dilakukan, dan sambutan karpet merah menanti para pemain.

Selepas itu, para pemain telah dibawa dengan menaiki bas menuju ke pusat bandar melalui laluan utama yang dipenuhi sorakan penyokong.

Selepas hampir enam jam, bas yang membawa pasukan Croatia akhirnya tiba di pusat bandar Zagreb, di mana lebih 100,000 penyokong berkumpul sambil mengibarkan bendera dan sepanduk.

“Kahwini saya, Rebic,” jerit seorang penyokong yang membuat lamaran kepada penyerang Ante Rebic.

Sorakan semakin kuat kedengaran sebaik Rebic dan rakan sepasukannya yang lain bergilir-gilir berucap kepada orang ramai.

“Terima kasih kerana mengiktiraf kesungguhan kami bermain di Rusia,” kata bek tengah Croatia, Sime Vrsaljko. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN