Coretan sahabat tentang persaraan KP - Utusan Malaysia

Coretan sahabat tentang persaraan KP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada 9 Julai lalu saya minum teh tarik dan pekena roti canai dengan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu, Datuk Aziz Ishak di Wangsa Walk.

KU SEMAN KU HUSSAIN
KU SEMAN KU HUSSAIN

Kami selalu berjumpa selepas saya keluar dari Utusan lebih dua tahun lalu.

Walaupun saya tidak bertanya tentang Utusan, tetapi sebagai rakan sekumpulan yang masuk pada tahun 1984, Aziz bercakap juga tentang Utusan.

Itu dunia kami sejak muda-muda dulu.

Saya melaporkan diri pada Januari, Aziz pada April 1984.

Antara yang melaporkan diri bersama-sama beliau ialah Zolkifli Ismail, kini pelakon sepenuh masa dan Ketua Biro Utusan Terengganu, Wan Zolkifli Wan Yaacob.

Aziz telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Beliau dilantik menggantikan Datuk Khalid Mohd pada 2008.

Antara desas-desus yang hangat dalam kalangan orang politik dan media ialah siapa Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu yang baru.

Tradisi Utusan ialah Ketua Pengarang Kumpulan mesti daripada orang dalam.

Kecuali Tan Sri Johan Jaaffar, itupun dari DBP, bukan dari akhbar lain.

Masa berjumpa di Wangsa Walk, saya tidak tanya tentang penggantinya. Saya tidak teruja sangat untuk tahu, tunggu dilaporkan di media saja.

Saya tidak mahu acara teh tarik dan roti canai yang santai itu menjadi serius.

Tak nak serius pun jadi serius juga bila cakap pasal cabaran Utusan pada landskap baru politik Malaysia.

Kami mengimbau cerita-cerita manis 30 tahun lalu di Utusan. Kalau masa bekerja dulu, selalu sangat bercakap pasal kerja, inilah masa untuk bersantai.

Ketika di Utusan, dalam keadaan dan isu tertentu, kami ada berbeza pandangan dan ber­ten­tangan pendirian.

Tetapi beliau penyabar dan kerap mera­sionalkan. Panas mudah jadi sejuk.

Ketika saya menghulurkan salinan surat letak jawatan pada Mac 2016, saya berkata, “Jom, resign.”

Beliau ketawa. Setahu saya beliau mahu meletak jawatan sejak tiga tahun lalu tetapi pemilik Utusan tidak mengizinkan.

Saya sangat faham tentang kerusinya selalu panas.

Antara menjaga kepentingan politik dan meluruskan profesionalisme, bukan suatu yang mudah untuk diselari.

DIPETIK dari facebook 
Ku Seman Ku Hussain

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN