ALOR SETAR – Syarikat pengendali bas henti-henti, Cityliner menamatkan enam daripada tujuh laluannya di Kedah dan Pulau Pinang kerana tidak mampu menampung kos operasi yang tinggi berkuatkuasa hari ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan serta Pembangunan Insan Kedah, Azman Nasrudin.
Jelasnya, sehingga kini hanya laluan Alor Setar ke Sungai Petani masih lagi beroperasi.
Antara laluan yang ditutup ialah Alor Setar-Pendang, Sungai Petani-Kuala Ketil-Jeniang, Sungai Petani-Taman Bandar Baharu, Sungai Petani-Taman Ria Jaya, Sungai Petani-Kuala Muda-Pantai Merdeka, Sungai Petani-Taman Keladi, Sungai Petani-Taman Kelisa dan Sungai Petani-Butterworth di Pulau Pinang.
“Kami mendapat aduan daripada penduduk berhubung ketiadaan perkhidmatan bas henti-henti Cityliner, kami buat ini sebabnya orang ramai lebih suka menggunakan kenderaan sendiri atau Grab. Saya berharap masyarakat bersabar buat masa ini dan carilah alternatif pengangkutan lain.
“Kerajaan Negeri akan bersama-sama Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengadakan rundingan dengan dua buah syarikat pengendali baharu untuk mengambil alih laluan berkenaan dan ianya masih di peringkat perbincangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – Bernama










