BUKAN sedikit nilai kerugian yang ditanggung penyanyi ini akibat kecuaian sendiri. Namun, sebagai manusia biasa, Inul Daratista tidak pernah ‘serik’ dengan apa yang berlaku walaupun perkara tersebut sudah berkali-kali terjadi.
Baru-baru ini, penyanyi dangdut tersebut kehilangan sebentuk cincin bernilai RM100,000 dalam sebuah acara di Sulawesi. Seperti sebelumnya, dia tidak mengambil pusing tentang perkara berkenaan yang disifatkan sebagai kecuaian sendiri.
“Saya ini sering kehilangan barang-barang seperti itu sejak dahulu. Kalau nak tahu, setahun yang lalu pun turut kehilangan cincin yang lebih mahal. Walaupun sudah dilaporkan kepada polis, sampai ke sudah cincin tersebut tidak ditemui. Habis apa lagi yang perlu dibuat, sebab itu saya biarkan sahaja perkara itu berlalu,” kata Inul tenang.
Jika kebanyakan wanita lain sudah ‘separuh mati’ kehilangan barang-barang mewah, Inul pula mengambil pendekatan untuk reda dan ikhlas.
Malah dia juga tidak faham kenapa perkara tersebut terus dibangkitkan oleh orang lain sedangkan dia sendiri sudah melupakannya.
“Cincin tersebut berharga RM100,000 sahaja dan hanya memiliki satu karat kecil sahaja. Tak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan. Kalau ditemui semula lebih baik tetapi kalau sebaliknya mereka perlu tahu berlian tersebut asli,” tambahnya.
Dalam pada itu pastinya suami Inul yang dikenali dengan nama Adam turut menjadi perhatian sebaik sahaja berita kehilangan cincin itu tersebar luas.
Kata Inul, suaminya hanya ketawa sahaja apabila mengetahui barangan mewah tersebut hilang sambil menyifatkan isterinya seorang yang cuai.
“Saya anggap memberikan hadiah kepada sesiapa yang menemukan cincin tersebut. Tetapi mereka kena tahu itu memang berlian asli dan bukannya palsu. Apa yang penting ditemui daripada hilang begitu sahaja,” tambahnya.
Murah hati
PUN begitu, ada yang bersarang di dalam hati penyanyi ini tatkala berita tersebut mula tersebar. Katanya dia sendiri tidak faham mengapa netizen perlu menularkan perkara tersebut sehingga membuatkan banyak pihak cemas.
“Saya kaget apabila berita tersebut tular dan menjadi topik panas di kebanyakan media. Saya sendiri tidak kisah dan mengapa mereka pula perlu melakukan perkara tersebut?
“Impak daripada berita itu juga membuatkan kakitangan syarikat cincin itu menelefon tanpa henti bagi mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. Daripada hal kecil terus menjadi besar,” ungkap Inul lagi.
Tidak berharap untuk kembali mendapatkan cincin tersebut kembali, dia berharap orang yang akan menemukan cincin itu menerima rezeki tersebut.
“Pokok pangkalnya kalau ada yang datang meminta, diberikan sahaja. Kalau tak diberi memang akan hilang macam yang berlaku kepada saya ketika ini.
“Baru-baru ini saya membeli cincin baharu dan ibu pula suka melihatnya. Terus sahaja saya berikan kepadanya,” cerita Inul lagi.











