PUTRAJAYA 31 Julai – China hari ini memberi keyakinan bahawa Malaysia akan terus berkembang dan maju di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Penasihat Negara China yang juga Menteri Luar, Wang Yi berkata, sejak Dr. Mahathir mengambil alih jawatan itu pada 9 Mei lalu China gembira melihat pencapaian Malaysia dan ia sekali gus memperlihatkan rakyat Malaysia bersatu dan telah mencapai kemajuan.
“Kami menghormati pilihan yang dibuat oleh rakyat Malaysia dan menyokong ke arah pembangunan negara ini.
“Kami gembira dapat melihat bahawa sejak pengambilalihan oleh Dr. Mahathir, terdapat banyak dimensi yang telah dibuka kepada pembangunan Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar bersama Malaysia dan China di Wisma Putra di sini malam ini.
Terdahulu, beliau bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengadakan mesyuarat hubungan dua hala hampir tiga jam sempena kunjungan ke negara ini selama dua hari.
Sementara itu, Saifuddin berkata, Malaysia akan terus menganggap China sebagai sahabat yang rapat dan rakan yang penting.
“Pada pertemuan itu, Wang Yi berkongsi mengenai diplomasi kejiranan negara itu yang memfokuskan hubungan China dengan negara-negara lain termasuk Malaysia. Malaysia juga mengulangi sokongan kepada inisiatif ‘Belt and Road’,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu kedua-dua pihak turut membincangkan mengenai persiapan lawatan Dr. Mahathir ke China pada pertengahan Ogos ini yang diyakini akan menjadi satu peristiwa penting.
Berhubung perbincangan dua hala, beliau berkata, kedua-dua pihak komited untuk memperkukuh hubungan Malaysia-China dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertanian dan keselamatan.
“Kami berpuas hati dengan kemajuan yang dicapai selama ini dalam hubungan dua hala membabitkan ekonomi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










