SHANGHAI 14 Julai – Beribu-ribu penduduk di negara ini terpaksa berpindah berikutan hujan lebat dan ribut petir yang menyebabkan banjir di sungai-sungai utama, memusnahkan jambatan, menyekat jalan raya dan landasan kereta api.
Televisyen tempatan melaporkan sebanyak 241 sungai di 24 wilayah telah melimpah sejak beberapa hari lalu menyebabkan kerugian ekonomi bernilai 25.9 bilion yuan (RM15.6 bilion)
Pihak berkuasa kaji cuaca menjangkakan hujan lebat berterusan hari ini dan banjir serta tanah runtuh di Sichuan.
Pusat Meteorologi Kebangsan melaporkan, paras air hujan dijangka mencecah 80 milimeter (mm) sejam di beberapa wilayah hari ini.
Amaran banjir turut dikeluarkan di timur laut negara ini dan gesaan agar pihak berkuasa menangguhkan aktiviti luar serta berjaga-jaga jika berlaku sebarang runtuhan.
Paras air sungai Yangtze, yang mengalir dari Yunnan di barat daya ke Jiangsu dan Shanghai di pantai timur, meningkat dengan pantas sekali gus menyebabkan banjir di cabang sungai dan penutupan empangan Three Gorges.
Agensi berita Xinhua melaporkan semalam, lebih 10 lebuh raya di wilayah Sichuan tidak boleh dilalui ekoran banjir dan sebuah jambatan di sungai Min di wilayah itu telah runtuh.
Kementerian Pengurusan Kecemasan memaklumkan, kejadian banjir itu telah menyebabkan kerosakan bernilai 2.4 bilion yuan (RM1.4 bilion) manakala pasukan bantuan kecemasan telah dikerah ke Sichuan dan wilayah Gansu.
Seramai 80,000 penduduk di bandar berhampiran, Chongqing, telah dipindahkan semalam.
Hujan lebat turut menyebabkan Sungai Kuning di bahagian utara negara ini melimpah dan menyekat sebuah landasan kereta api di Shaanxi.
Di Gansu pula, seramai 15 orang terkorban dan empat hilang manakala lebih sejuta penduduk terjejas ekoran hujan berterusan selama semingu dan banjir kilat.
Kawasan di Inner Mongolia yang mengalami kemarau teruk selama beberapa minggu turut mengeluarkan amaran banjir semalam. – Reuters










