Charles Santiago pertahan gesaan mansuh diskriminasi LGBT - Utusan Malaysia

Charles Santiago pertahan gesaan mansuh diskriminasi LGBT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Julai – Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempertahankan gesaan beliau supaya kerajaan memansuhkan semua undang-undang yang mendiskriminasikan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Wakil rakyat Pakatan Harapan itu berkata, seruan supaya kerajaan menghuraikan isu homoseksual adalah selaras dengan resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat.

Katanya, kerajaan mempunyai kewajipan untuk melindungi hak semua warganegara, tanpa mengira seksualiti dan identiti jantina mereka.

“Dalam isu diskriminasi homoseksual, saya menyokong untuk menjaga kebebasan sivil kumpulan minoriti ini.

“Tetapi dengan menuduh bahawa saya tidak menghormati Islam dan mempersoalkan seksual, saya hanya menunjukkan ketidakpedulian mereka yang mengulas dalam laman Facebook saya,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau hari ini.

Dalam kenyataan beliau semalam, Charles menyatakan solidariti bersama Numan Afifi yang dikatakan cenderung memperjuangkan hak LGBT selain menggesa kerajaan memansuhkan semua undang-undang serta peraturan mendiskriminasikan komuniti tersebut.

Dalam pada itu, Charles memberitahu, kenyataannya itu tidak ada kena mengenai dengan agama mahu pun anti-Islam.

Beliau turut berkongsi perjuangannya menuntut kewarganegaraan etnik Rohingya dan mengutuk penganiayaan terhadap golongan tersebut.

“Malangnya ramai orang telah memutar-belit kenyataan saya dengan mengaitkannya dengan agama dan menggelar saya dengan nama-nama yang menghina,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN