CBP sasar keuntungan RM54 juta pada 2018 - Utusan Malaysia

CBP sasar keuntungan RM54 juta pada 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 9 Julai – Koperasi Coopbank Persa­tu­an Malaysia Berhad (CBP) menyasarkan keuntungan sebanyak RM54 juta pada tahun ini berbanding RM39 juta tahun lalu menerusi pelbagai perkhidmatan kewangan dan produk perbankan yang ditawarkan.

Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari berkata, bagi mencapai sasaran tersebut, CBP melakukan pemantauan prestasi dan menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk 20 cawangannya di seluruh negara.

Katanya, CBP komited mencapai sasaran itu dan antara pendekatan utama dilakukan adalah melantik kakitangan yang dapat memenuhi matlamatnya serta meningkatkan produktiviti dalam kalangan tenaga kerja sedia ada.

“Selain itu, kita akan menambah empat lagi cawangan tahun ini iaitu di Batu Pahat, Johor; Temerloh, Pahang; Kuala Selangor, Selangor dan Port Dickson di Ne­ge­ri Sembilan menjadikan keseluruhan cawangan CBP kepada 24 buah menjelang hujung tahun ini.

“Kita juga akan memperkenalkan ejen perbankan pada tahun ini yang merancakkan lagi aktiviti perbankan, sekali gus memperkenalkan nama bank kepada semua masyarakat di seluruh negara dengan lebih dekat,” katanya kepada pemberita pada majlis Jamuan Hari Raya CBP Kuantan di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Lembaga CBP, Nor Hidayah Omar dan Pe­ngurus Cawangan CBP Kuantan, Mohd. Hasri Saidin.

CBP kini mempunyai 653 ahli koperasi manakala 80,000 ahli individu.

Mengulas lanjut, Kamari Zaman berkata, CBP turut memberi tum­puan kepada peningkatan produk Ar-Rahnu sebagai satu daripada strategi mempelbagaikan sumber pendapatan bank berkenaan.

“Antara produk lain yang dilaksanakan CBP adalah pembiaya­an persendirian-i lestari, pembia­aan perumahan-i al-amali dan pembia­yaan hartanah-i ar-rahah.

“Kita juga mempunyai pembiayaan koperasi dan korporat-i, akaun simpanan-i al-wadiah hasanah dan keanggotaan individu serta koperasi,” ujarnya.

Tambahnya, CBP mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menjadi warga kerja bank berkenaan kerana banyak jawatan ditawarkan ketika ini.

“Maklumat penjawatan yang ditawarkan boleh diperoleh menerusi lawan web syarikat iaitu https://www.cbp.com.my/my,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN