PUTRAJAYA – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa pihaknya tidak mahu membawa budaya ‘witch hunt’ iaitu mencari kesilapan pentadbiran yang terdahulu.
Bagaimanapun, menteri berusia 25 tahun itu berkata, jika terdapat salah laku dalam pentadbiran berkenaan, pihaknya akan menyiasat perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.
Katanya, berbanding mencari kesilapan lepas, beliau mahu memberi fokus kepada perkara yang boleh ditawarkan demi kepentingan rakyat.
“Saya tidak mahu diwarnakan atau dicorakkan sebagai budaya balas dendam, di mana untuk menyerlahkan diri saya, saya menjatuhkan atau memburukkan imej kerajaan lepas dengan kesilapan yang sedia ada.
“Sebaliknya saya mahu fokus kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat dan pastikan jika ada kesilapan yang lepas, ia tidak diulangi. Sebab fokus anak muda kini, kalau kita hanya bentangkan kesilapan lepas, mereka akan tanya what we can afford (apa yang kita mampu lakukan)?
“Contohnya bagaimana kita boleh kurangkan harga rumah, bagaimana selesaikan isu kos sara hidup, pastikan peluang pekerjaan dicipta secukupnya, isu kolej vokasional dan sebagainya. Jadi fokus yang sama rata kepada bahagian belia dan sukan,” katanya ketika ditemui pemberita di KBS di sini hari ini.
Ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut menegaskan bahawa pihaknya akan meneruskan semua program dan dasar di bawah menteri dahulu sekiranya ia membawa kebaikan kepada rakyat dan industri sukan negara seperti Fit Malaysia, Hari Sukan Negara (HSN) dan Perdana Fellowship. – Bernama











