Cadangan tingkat umur minimum perkahwinan diumum dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Cadangan tingkat umur minimum perkahwinan diumum dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan sedang memperhalusi cadangan meningkatkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan ia akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Dr. Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata beberapa kementerian dan agensi kerajaan telah pun memulakan peranan masing-masing dalam mengkaji perkara berkenaan.



“Perkara ini adalah sejajar dengan manifesto Buku Harapan untuk menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi kedua-dua jantina,” katanya dalam kenyataan malam ini.



Memuatkan artikel berkaitan…

Sabtu lepas, berita perkahwinan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dengan kanak-kanak perempuan warganegara Thailand berusia 11 tahun tular di media sosial.



Dr. Wan Azizah sebelum ini dilapor sebagai berkata kes berkenaan telah diarah disiasat di bawah elemen antun atau ‘sexual grooming’ yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan menganggap perkahwinan itu sebagai tidak sah selagi tiada bukti dikemukakan. 



Dalam isu sama, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagaimanapun dilapor menyatakan rasa kecewa terhadap kerajaan yang dianggap tidak efektif dalam usaha penguatkuasaan usia minimum perkahwinan, selain membantah cadangan kerajaan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) bagi perkahwinan di bawah umur.



Mengulas kenyataan Suhakam, Dr. Wan Azizah berkata, pihaknya mengambil maklum kebimbangan diutarakan pihak berkenaan, sambil menambah kementerian tidak mempunyai autoriti menyemak semula SOP sedia ada berkaitan kelulusan dan pengendalian urusan perkahwinan kanak-kanak kerana ia berada di luar bidang kuasa mereka. – BERNAMA

 



 
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN