SHAH ALAM 25 Julai – Dalam menangani isu yang berkaitan dengan golongan wanita dan institusi kekeluargaan, calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni bercadang menubuhkan pusat kaunseling di beberapa rumah ibadat.
Mohd. Zawawi yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh berkata, penubuhan pusat ini penting agar ia dapat dijadikan pusat rujukan dan premis yang menawarkan khidmat nasihat termasuk penganjuran pelbagai kursus keibubapaan.
Katanya, masalah yang dihadapi golongan wanita dilihat semakin kritikal dan seharusnya mereka perlu dijaga kerana menyumbang kepada hala tuju sesebuah keluarga.
“Saya dan isteri menerima banyak panggilan berhubung masalah yang dihadapi golongan tersebut. Oleh demikian, dengan adanya penubuhan pusat ini, golongan wanita boleh meluahkan masalah mereka di premis yang selesa.
“Ini dapat memastikan tahap kerahsiaan masalah yang dihadapi mereka terjaga dan sekali gus mendekatkan diri dengan Allah,” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PKR di Jalan Bukit Kemuning di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Zawawi berkata, sebagai seorang kaunselor bertauliah, dia berjanji memanfaatkan kepakaran yang dimilikinya dalam bidang motivasi dan pembangunan keluarga untuk membantu golongan wanita.










