SEJAK tular mengenai kisah pernikahan di antara seorang lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Gua Musang, Kelantan, pelbagai pihak menuding jari kepada mahkamah syariah. Malah menyedihkan lagi apabila terdapat tohmahan melulu, keterlaluan dan tidak bertanggungjawab dilontarkan terhadap para hakim syarie yang dilabel sebagai penggalak kegiatan pedofilia. Untuk makluman, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan 2016 telah mengeluarkan fatwa tegas menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah amalan tidak sihat dan perlu dielakkan.
Pada 25 Jun lalu, 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bersepakat dan menegaskan pendirian terhadap keperluan umur minimum perkahwinan ditingkatkan kepada 18 tahun sama ada melibatkan penganut beragama Islam ataupun bukan Islam. Kesemua NGO itu juga mendesak agar tatacara dan aturan perlu diperketat sebelum mahkamah membenarkan sebarang perkahwinan bawah umur.
Penulis tidak berhasrat untuk mengulas mengenai umur perkahwinan kerana isu itu akan dibincangkan secara panjang lebar oleh pihak berkuasa bagi tujuan pemindaan, namun apa yang menarik perhatian adalah tindak balas pihak-pihak tertentu dan keghairahan masyarakat yang meletakkan segala kesalahan berkaitan isu tersebut ke atas mahkamah syariah dan hakim syarie.
Sebenarnya sama ada sedar ataupun tidak, isu pokok pernikahan pasangan berkenaan langsung tiada kaitan dengan mahkamah syariah. Sejak awal lagi masyarakat dimaklumkan pasangan ini bernikah di Golok, Thailand, diakadnikahkan oleh jurunikah warganegara Thailand.
Keluarga kanak-kanak tersebut juga berasal dari Thailand serta mendapat persetujuan ibu bapa dan kerelaan kanak-kanak tersebut sendiri. Begitu juga permohonan kebenaran untuk berkahwin tidak pernah difailkan di mahkamah syariah. Malah, pernikahan tersebut juga tidak pernah didaftarkan di Malaysia.
Jadi, di mana kaitannya kes tersebut dengan mahkamah syariah sehingga dikambing hitam dan para hakimnya diaibkan sedemikian rupa?
Jika ada kaitan sekalipun mungkin golongan yang melemparkan tuduhan tersebut melihat dari aspek kewujudan seksyen 8 dan 18 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) 2002. Seksyen 8 enakmen tersebut memperuntukkan mengenai had umur minimum perkahwinan iaitu 16 tahun bagi wanita dan 18 tahun bagi lelaki.
Seksyen 18 pula memperuntukkan mengenai kuasa mahkamah untuk sama ada memberi kebenaran berkahwin ataupun tidak sekiranya melibatkan salah satu pihak di bawah umur.
Kendatipun peruntukan tersebut wujud di dalam enakmen berkenaan, namun ia bukanlah lesen bagi sesiapa jua melontarkan tuduhan tanpa penilaian secara menyeluruh terhadap institusi kehakiman syariah. Apatah lagi apabila pasangan ini tidak pernah menjejakkan kaki di mahkamah syariah dan bukanlah berkahwin atas kebenaran yang diberikan oleh hakim syarie.
Masyarakat juga perlu ikhlas dalam mengeluarkan pandangan kerana selain dua seksyen tersebut, enakmen itu turut diimbangi dengan seksyen 40 yang memperuntukkan mengenai kesalahan terhadap pasangan yang berkahwin tanpa kebenaran mahkamah yang boleh dihukum denda tidak melebihi RM1,000 ataupun penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Begitu juga terdapat prosedur tertentu yang perlu dipatuhi oleh hakim sebelum membuat justifikasi dan mengeluarkan sebarang perintah.
Malah, pernah pada 2010, Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu, Kelantan membatalkan pernikahan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun selepas didakwa dinikahkan oleh bapanya sendiri dengan lelaki berusia 41 tahun (Utusan Malaysia, 23 Disember 2010).
Undang-undang yang termaktub di dalam akta dan enakmen syariah tersebut digubal oleh Ahli Parlimen (Wilayah Persekutuan) atau Ahli Dewan Undangan Negeri (negeri-negeri seluruh Malaysia), diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong atau sultan negeri-negeri.
Pelaksanaan juga mematuhi tatacara gubalan dan konsep perlembagaan. Begitu juga halnya dengan pelantikan para hakim syarie yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan setelah saringan dilakukan terhadap kompetensi dan kelayakan tertentu.
Justeru, semua pihak perlu memahami bahawa akta dan enakmen syariah di seluruh Malaysia bukanlah ‘diari’ yang secara suka-suka ditulis oleh para hakim syarie. Mahkamah syariah juga bukanlah mahkamah ‘pondok-pondok’ yang secara semberono mengeluarkan perintah.
Hakim hanya bertindak secara berhati-hati berdasarkan peruntukan undang-undang yang dikanunkan. Justeru, sekiranya terdapat ketidakpuasan hati terhadap sesuatu peruntukan, maka pihak yang berwajib boleh menyuarakan pandangan bagi memindanya untuk dipersetujui oleh Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.
Hakikatnya, menuduh para hakim syarie sebagai penggalak pedofilia secara langsung sekurang-kurangnya menafikan tiga prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang.
Sesungguhnya pelbagai kejayaan telah dicapai oleh mahkamah syariah. Apatah lagi semenjak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) diwujudkan pada 1998 untuk mengendalikan kes-kes rayuan syariah, di samping menyelaras pentadbiran mahkamah syariah seluruh negara. Penubuhan JKSM ini sebenarnya hasil inisiatif Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyandang jawatan Perdana Menteri keempat.
Menurut Indeks Syariah Malaysia (ISM) pada 2017, bidang utama perundangan telah mencatat skor tertinggi iaitu sebanyak 84.91 peratus, berbanding 76.06 peratus (2016) dan 75.42 peratus (2015).
Indeks ini antara lain bertujuan menilai dan mengukur tahap keseriusan pemerintah dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab mengikut landasan syariah di samping mengukur sejauh mana komitmen negara dalam pelaksanaannya berdasarkan maqasid syariah. Ia juga menjadi penanda aras untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang akan dijadikan rujukan, panduan dan ikutan oleh negara-negara Islam lainnya.
Melihat kepada kedudukannya kini serta pelbagai cadangan untuk menambah baik peruntukan undang-undang, akhirnya, untuk menjawab sama ada mahkamah syariah merupakan satu-satunya penggalak yang mendorong berlakunya perkahwinan di bawah umur ataupun terdapat faktor utama lain, ada baiknya kita menyorot pengakuan yang dilafazkan oleh lelaki yang menikahi kanak-kanak tersebut sepertimana yang dipetik dari akhbar The Sun (3 Julai 2018), “I wanted to take care of her as she is poor, to help and provide for her family, so I made the decision (saya ingin menjaga, membantu dan menyara beliau (isteri) serta keluarganya kerana mereka miskin, kerana itu saya mengambil keputusan ini).”
PENULIS ialah peguambela dan peguamcara serta peguam syariah.










