KUANTAN – Seorang kanak-kanak perempuan maut akibat cedera parah selepas dihempap pokok tumbang ketika menaiki motosikal bersama rakannya di laluan berhampiran Balai Polis Kuala Krau, Temerloh petang semalam.
Dalam kejadian semasa ribut kencang pada pukul 4.40 petang semalam, Nur Damia Hannah Kamarudin, 11, dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh sebelum disahkan meninggal dunia malam tadi.
Sementara itu, rakannya yang membonceng ketika kejadian itu, Nur Nabila Natasha Nizan, 12, dilaporkan mengalami kecederaan organ dalaman dan masih menerima rawatan di hospital sama.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, kejadian berlaku dalam keadaan angin kencang sejurus kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri di Dewan Felda Jenderak Selatan.
“Tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki kedua-dua mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang akibat ribut.
“Mereka dibawa ke Hoshas untuk rawatan. Nur Damia disahkan meninggal dunia pada pukul 9 malam tadi,” katanya. – K! ONLINE











