KANGAR – Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Hamizan Hassan berpendapat, penyelesaian terbaik mengatasi kemelut kewangan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) ialah dengan membubarkan sementara pasukan Singa Utara itu.
Hamizan berkata, penyelesaian itu merupakan yang terbaik sekiranya PFA tidak berkemampuan meneruskan pengurusan dan pentadbiran pasukan bola sepak persatuan tersebut.
“Saya dimaklumkan kali terakhir pemain dan kakitangan menerima gaji pada Mac lalu.
“Malah, sehingga kini PFA masih belum mempunyai Presiden selepas individu sebelum ini yang memegang jawatan itu telah meletak jawatan,” katanya ketika ditemui selepas Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 di Kompleks DUN di sini hari ini.
Katanya lagi, faktor kewangan kerajaan negeri Perlis yang terhad selain faktor perubahan landskap politik menyebabkan pihaknya tidak mampu membantu PFA.
“Bola sepak bukan tidak diutamakan tetapi kita mempunyai perkara lain yang perlu diberikan keutamaan.
“Kami membantu PFA dari sudut lain dengan memberikan bantuan seperti menyediakan stadium dan padang untuk kemudahan pemain secara percuma serta hasil kutipan tiket menjadi hak persatuan itu sepenuhnya,” katanya.
Perlis menduduki tangga kelima dalam Kumpulan B, Liga FAM dengan rekod tiga kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dalam sembilan perlawanan.
Pasukan Singa Utara itu setakat ini mengutip 10 mata. – K! ONLINE










