KOTA BHARU – Tiga pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang di sini dipercayai telah menggunakan bahan letupan yang diperbuat daripada belerang dan karbaid untuk menghasilkan bom buatan sendiri.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, belerang yang digunakan itu dihasilkan daripada 80 biji mercun bola sebelum dilempar ke arah bangunan sekolah.
“Bahan letupan itu kemudian diisi di dalam cawan plastik yang dibalut dengan getah tiub motosikal dan dilemparkan ke bangunan sekolah tiga tingkat yang menempatkan beberapa buah bilik seperti bilik guru disiplin, bilik kaunseling dan dewan,” ujarnya.
Jelasnya, letupan bom itu mengakibatkan cermin tingkap pada kesemua bilik dan dewan pecah, namun tiada kecederaan dilaporkan.










