KAZAN – Hasrat Brazil untuk menjulang trofi keenam mereka di Rusia akhirnya berkecai apabila diajar oleh ‘budak baharu’, Belgium 2-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia 2018 FIFA di Kazan Arena, Kazan, Rusia awal pagi ini.
Gol sendiri daripada Fernandinho dan rembatan deras Kevin De Bruyne pada babak pertama memberi igauan ngeri buat juara lima kali itu, meskipun mereka berjaya bangkit merapatkan kedudukan pada babak kedua menerusi pemain gantian, Renato Augusto.
Kekalahan skuad The Selecao itu menyaksikan mereka mengikut jejak langkah Uruguay yang turut terkandas di peringkat yang sama, sekali gus tiada wakil dari benua Amerika Selatan di saingan separuh akhir.
Jelas badi kekalahan di tangan pasukan dari Eropah di peringkat kalah mati sekali lagi menghantui mereka dan menutup terus kempen mereka di Rusia.
Pencapaian di suku akhir ini juga gagal mengulangi pencapaian mereka ketika menjadi tuan rumah edisi 2014 di mana mereka tewas di peringkat separuh akhir, di belasah 1-7 oleh juara, Jerman.
Bagi Belgium pula, kejayaan ini sudah pasti menjadi dendam yang manis bagi mereka selepas tewas 0-2 kepada Brazil pada pertemuan terakhir pada 2002.
Ia juga merupakan pencapaian paling bermakna buat mereka selepas layak ke separuh akhir buat kali kedua sejak melakukannya pada 1986 di Mexico.
Kejayaan mereka banyak dibantu kehebatan penjaga gol Chelsea, Thibaut Courtois selain tindakan cemerlang pemain pertahanan Toby Alderweireld mengekang pergerakan Neymar.
Pada perlawanan paling dramatik dalam kempen di Rusia itu tadi, permainan Brazil dilihat serba tidak menjadi apabila setiap gerakan Neymar Jr, Paulinho dan Phillipe Coutinho berjaya dikekang pemain Belgium yang diketuai Eden Hazard.
Biarpun mempunyai beberapa peluang terbaik untuk mendahului pada awal 20 minit pertama permainan, tuah jelas tidak memihak kepada mereka selepas percubaan Gabriel Jesus dan Paulinho gagal menepati sasaran.
Ssebaliknya Belgium lebih tenang menyerap asakan Brazil yang banyak menguasai permainan dan hanya bergantung kepada serangan balas kilat yang teratur dan berkesan sekali gus mencemaskan pintu gol Brazil.
Usaha skuad Red Devils ituakhirnya berjaya membuahkan hasil apabila bola sepakan penjuru mereka pada minit ke-13 tertampan di bahu Fernandinho untuk gol pertama sebelum memerangkap Brazil sekali lagi dengan serangan balas yang disempurnakan rembatan deras De Bruyne pada minit ke-31.
Meskipun Brazil berjaya bangkit dengan gol Augusto pada minit ke-76 dan banyak melakukan serangan, Belgium bagaimanapun menunjukkan semangat kental yang jitu untuk terus bertahan sehingga wisel penamat, sekali gus melangkah ke separuh akhir berdepan Perancis nanti. – K! ONLINE










