Brahim’s mahu tumpu bidang katering - Utusan Malaysia

Brahim’s mahu tumpu bidang katering

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI – Brahim’s Dewina Group of Companies (Brahim’s) berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan berkaitan penerbangan pada masa akan datang dengan memberi fokus bagi mengembangkan bidang katering yang lebih berpotensi.

Brahim’s merupakan peneraju industri halal dengan menjalankan perniagaan dalam segmen katering dalam penerbangan dan industri, perkhidmatan makanan dan minuman di lapangan terbang serta pek hidangan sedia dimakan jenama Brahim’s.

Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, ketika ini perniagaan katering dalam pe­nerbangan menyumbang kira-kira 70 peratus kepada perolehan kumpulan.

Menurutnya, syarikat me­nyasarkan untuk mencapai kadar yang seimbang iaitu 50:50 bagi perniagaan berkaitan penerba­ngan dan bukan berkaitan penerbangan pada masa akan datang.

“Dengan landskap industri penerbangan yang berada di luar kawalan kami, syarikat membuat keputusan untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan berkaitan sektor tersebut dengan cara mengukuhkan perniagaan bukan berkaitan penerbangan.

“Antara yang dilakukan termasuklah menembusi segmen penyediaan katering bagi Per­khidmatan Tren Elektrik (ETS) baru-baru ini.

“Kami juga terus mengintai peluang untuk memperluaskan kehadiran Brahim’s dalam perniagan katering di kampus-kampus dan industri lain.

“Sehingga kini, perniagaan tersebut mencatatkan prestasi yang menggalakkan dan kami menjangkakan ia (perniagaan katering bukan berkaitan penerbangan) akan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk matang dan mula menampakkan hasil menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Ulang Tahun ke-30 Jenama Brahim’s dan Hari Raya Aidilfitri di sini semalam.

Tambah Ibrahim, antara strategi lain yang akan dilalukan oleh Brahim’s bagi memacu sasaran tersebut adalah dengan melaksanakan langkah penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

“Pada masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan de­ngan dua syarikat dari Jepun dan Korea untuk bekerjasama dalam perkhidmatan penyedia­an makanan halal, didorong oleh permintaan meningkat bagi segmen tersebut dalam kalangan pelancong, terutamanya menjelang Sukan Olimpik di Tokyo pada tahun 2020.

“Bagaimanapun, ia masih dalam proses perbincangan awal dan kami berharap untuk memuktamadkannya pada tahun depan,” jelasnya.

Terdahulu, pada majlis yang sama, Brahim’s turut menyumbang sebanyak RM30,000 kepada dua pertubuhan amal iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang dan Rumah Kanak-Kanak Angels Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN