KUALA LUMPUR 15 Julai – Brahim’s Dewina Group of Companies (Brahim’s) bercadang melaksanakan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) melibatkan dua syarikat rangkaian makanan halal dari Jepun dan Korea Selatan yang dijangka dapat dimuktamadkan pada tahun hadapan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan Brahim’s, Datuk Seri Ibrahim Ahmad Badawi berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengurangkan kebergantungan kepada segmen penyediaan makanan berkaitan penerbangan yang kini menyumbang 70 peratus kepada perolehan kumpulan.
Katanya, pihaknya mempunyai sasaran untuk menyeimbangkan sumbangan dari kedua-dua segmen penyediaan makanan berkaitan penerbangan dan bukan penerbangan menjadi 50:50 tetapi usaha tersebut bukan mudah dilakukan dan perlukan masa untuk dibangunkan.
“Bagaimanapun, perkara ini masih di peringkat awal perbincangan dan kami masih terbuka kepada langkah (M&A) berkenaan. Kami mahu memanfaatkan rangkaian dan perkhidmatan makanan halal yang mendapat permintaan tinggi di peringkat global.
“Ini kerana jenama Brahim’s sendiri dikenali sebagai penyedia makanan halal dan ini memberi kelebihan kepada kami terutama kepada negara-negara yang menjadi tumpuan pelancong Muslim,” katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri dan 30 tahun jenama Brahim’s di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Seri Dr. Hiryati Abdullah dan Pengarah Urusan Kumpulan Dewina Holdings Sdn. Bhd., Nur Fatin Ibrahim.
Majlis itu menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Paling Lama kepada 65 kakitangan yang berkhidmat di syarikat tersebut bagi tempoh 15 hingga 30 tahun.
Selain itu, Brahim’s juga meraikan 60 anak-anak yatim dan menyalurkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada dua rumah kebajikan terbabit iaitu Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia Kajang dan Rumah Kanak-kanak Angels Kuala Lumpur.
Menurut Ibrahim, Malaysia Airlines Berhad (MAB) masih merupakan pelanggan utama mereka yang menyumbang kira-kira 50 peratus daripada segmen penyediaan makanan berkaitan penerbangan berbanding 80 peratus sebelum ini.
Katanya, menerusi Brahim’s Airline Catering (yang kini dikenali sebagai Brahim’s SATS Food Services Sdn. Bhd.), menyediakan perkhidmatan makanan kepada lebih 37 syarikat penerbangan komersial dan sewa khas.
“Kami masih mempunyai kontrak dengan MAB tetapi ada banyak perkara perlu ditangani terutama dari segi kualiti makanan. Malah, kami juga ada membentuk satu jawatan kuasa untuk melihat apa yang boleh kami lakukan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada syarikat penerbangan ini,” katanya.










