KUALA LUMPUR – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpendapatan RM4,000 ke bawah yang berhasrat untuk memohon penangguhan bayaran perlu mengemas kini maklumat pendapatan selewat-lewatnya pada 25 Julai ini.
Penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan adalah antara manifesto kerajaan Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan memberitahu, peminjam juga perlu mengemas kini maklumat penting lain termasuk alamat, nombor telefon, e-mel dan maklumat pekerjaan.
“Mereka boleh melayari laman web rasmi www.ptptn.gov.my dan klik pada ruangan Pengemaskinian Maklumat Pendapatan,” katanya pada sidang akhbar di Menara PTPTN di sini semalam.











