BN Shah Alam turun padang bantu kempen ‘jiran’ - Utusan Malaysia

BN Shah Alam turun padang bantu kempen ‘jiran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 22 Julai – Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam menggerakkan seluruh jentera membantu kempen ‘jirannya’, UMNO Bahagian Kota Raja sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.

Pengerusi BN Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata, jarak dekat selain kemudahan jaringan lebuh raya yang baik seharusnya diambil kesempatan bagi membantu kempen calon parti itu, Datuk Lokman Noor Adam.

Menurutnya, kempen kali ini secara am begitu penting kepada BN dan khususnya  kepada UMNO Shah Alam pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 serta pemilihan UMNO baru-baru ini.

“Kita sentiasa mengutamakan kejayaan parti dalam setiap pilihan raya tidak kira umum mahupun kecil. Untuk itu semua pihak harus menggerakkan jentera sayap masing-masing apabila semboyan telah dibunyikan.

“BN Parlimen Shah Alam pada dasarnya sebagai jiran terdekat UMNO Bahagian Kota Raja di mana DUN Sungai Kandis berada, sudah pasti komited untuk menjayakan kempen selama dua minggu,” katanya di sini, hari ini.

Azhari berkata, beliau bersama kesemua ahli BN Parlimen Shah Alam ditugaskan mengurus Pusat Daftar Mengundi (PDM) Kota Raja.

Jelasnya, pada kali ini, beliau berharap ahli-ahli BN khususnya UMNO sudah menyiapkan fizikal dan mental bagi menghadapi PRK DUN Sungai Kandis.

“Kelebihan kami adalah jarak antara Sungai Kandis dan Shah Alam yang dihubungkan oleh Lebuh Raya Sungai Rasau dan Lebuh Raya Kemuning Shah Alam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap ahli UMNO Shah Alam dan komponen BN Parlimen Shah Alam untuk turun beramai-ramai membantu kempen ‘jiran’ yang bersempadan dengan Parlimen tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN