KUALA LUMPUR 18 Julai – BMW Group Malaysia memperkenalkan ikon baharu BMW Concept X7 iPerformance buat julung kalinya bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau Asia Tenggara.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Harald Hoelz berkata, kenderaan konsep itu memberi sekilas bayangan terhadap visi kemewahan moden oleh BMW Group.
“Kereta konsep ini merupakan demonstrasi bagi pendekatan baharu BMW Group terhadap segmen kenderaan premium secara khususnya tentang mobiliti bervisi dan kemewahan progresif.
“Ia bukan untuk ditatap sebagai model produksi masa depan semata-mata, tetapi menjadi kajian kes tentang kemodenan, kemewahan dan penanda aras dalam segmen kenderaan mewah,” katanya berucap pada acara pengenalan kereta konsep itu di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










