BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 18 JULAI 2018 - Utusan Malaysia

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT – 18 JULAI 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AWANG terkejut membaca laporan mengenai lima sekeluarga menjadikan rumah mereka sebagai sarang penagihan dadah. Bapa yang sepatutnya melindungi keluarga terjebak bersama anak-anak yang masih muda. Kehidupan keluarga ini dihancurkan oleh dadah. Apa sudah terjadi kepada institusi keluarga? Di mana silapnya?

Mungkin kes ini boleh dianggap sebagai terpencil tetapi kesannya amat buruk jika ia merebak. Ketua keluarga sepatutnya melindungi anggota keluarga daripada terjebak gejala yang memusnahkan kehidupan ini. Jika sebuah keluarga tidak dapat dikawal bagaimana mahu melindungi masyarakat daripada dadah?

Peranan ketua keluarga amat penting. Jika ketua keluarga sudah terpesong bagaimana mahu mendidik keluarganya khusus­nya anak-anak yang masih muda? Sesuatu perlu dilakukan untuk melihat punca keluarga ini terlibat dalam penagihan dadah.

Kecewa, menganggur, kurang didikan agama dan pelbagai lagi boleh dijadikan punca mereka terjebak. Masyarakat harus lebih peka dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Jangan pandang sebelah mata sesuatu yang memudaratkan sedang berlaku.

Awang percaya, sikap ambil tahu bukan bermakna menjaga tepi kain orang. Sebaliknya itu adalah tanggungjawab untuk membetulkan kepincangan demi keharmonian sebuah masyarakat. Bertindaklah sebelum terlambat. Sikap tidak ambil peduli akan lebih memudaratkan. Dadah bukan sekadar memusnahkan hidup seseorang tetapi mampu mencetuskan pelbagai jenayah.

AWANG – Tidak lari daripada tugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN