AWANG mengucapkan selamat bersidang kepada 222 anggota Parlimen terutama 90 muka baharu yang memulakan Mesyuarat Pertama Parlimen Ke-14 mulai hari ini. Mesyuarat ini menarik perhatian rakyat kerana inilah ‘perhimpunan’ pertama selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan yang sebelum ini diterajui Barisan Nasional (BN).
Perubahan pentadbiran turut menyaksikan landskap baharu di Dewan Rakyat apabila BN bertindak sebagai pembangkang.
Sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang, wakil-wakil rakyat ini diharap dapat menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik. Penuhilah harapan dan impian rakyat yang telah memilih mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14
Sekarang adalah masa untuk bekerja membela rakyat, bukan lagi mencari silap di sana sini. Hadirlah mesyuarat sepanjang penggal ini untuk mengambil bahagian secara aktif di Dewan Rakyat. Jangan sekadar memanas kerusi.
Tahniah juga kepada Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, yang dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Awang percaya, pengalamannya dalam bidang undang-undang dapat membantu beliau memikul tanggungjawab ini dengan baik. Sokongan dan kerjasama anggota Parlimen juga amat penting supaya mesyuarat berjalan lancar. Sesuai dengan transformasi yang ingin dilakukan, semua wakil rakyat tanpa mengira parti perlu mendapat layanan yang adil.
AWANG – Tunggu sesi soal jawab.










