SHAH ALAM – Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) diminta mempertimbangkan cadangan supaya UMNO bertanding menggunakan logo parti itu dan bukannya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos depan.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mencadangkan perkara itu berkata, langkah tersebut adalah penting bagi mengukur sokongan rakyat selepas BN kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Ini adalah pandangan dan cadangan saya, calon yang akan bertanding di PRK Sungai Kandis dibenarkan bertanding atas tiket UMNO. Bagaimanapun, cadangan ini akan diputuskan kepimpinan tertinggi BN selepas perbincangan mengenainya diadakan dalam masa terdekat.
“Banyak orang kata, kita tidak perlu bertanding, tetapi pada saya ini (PRK Sungai Kandis) adalah percubaan yang bagus untuk kita menilai kemampuan. Kalau mahu tunggu PRU, ia diadakan lima tahun lagi,” katanya ketika ditemui selepas program wacana Sinar Harian di sini semalam.











