PULAU PINANG 25 Julai – Polis negeri mengesan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang membuat laporan polis palsu kononnya mereka telah menjadi mangsa jenayah.
![]() |
|
ROSLEE CHIK
|
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sebanyak 10 laporan palsu diterima pihaknya pada tahun ini dengan yang terbanyak di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) iaitu membabitkan empat kes.
Katanya, daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS) pula masing-masing merekodkan dua kes serta satu kes turut dicatatkan di Timur Laut dan Seberang Perai Utara (SPU).
“Kebanyakan laporan ini mendakwa mereka menjadi mangsa samun dan kenderaan turut dicuri,” katanya, di sini hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan siasatan, antara punca laporan dibuat ialah kerana individu berkenaan telah menyalahgunakan wang tunai yang diamanahkan kepada mereka untuk bermain judi, berjoli serta membayar hutang.
“Selain itu, ada juga yang membuat lapran palsu kerana untuk mengelakkan diri daripada didenda oleh Jabatan Pendaftaran Negara apabila kad pengenalan mereka hilang atau tercicir,” katanya.
Roslee berkata, ada juga yang mengambil kesempatan membuat laporan palsu bagi ‘menggunakan’ kuasa polis untuk mendapatkan kembali kenderaan atau harta yang digunakan pihak lain setelah usaha sendiri gagal. – UTUSAN ONLINE











