IPOH 18 Julai – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta memberi lebih masa kepada peminjam yang berpendapatan RM4,000 ke bawah untuk mengemaskinikan maklumat mereka di laman sesawang PTPTN.
![]() |
|
NAIB Ketua Pemuda UMNO Gopeng, Al Yashir Yahaya
|
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Gopeng, Al Yashir Yahaya berkata, pihaknya menerima banyak aduan laman sesawang untuk mengemaskinikan maklumat berkenaan amat sibuk sehingga tidak dapat diakses.
Menurutnya, sebagai agensi yang membantu rakyat, PTPTN seharusnya prihatin dengan memberikan pelbagai kaedah untuk mengemaskinikan maklumat dan bukannya hanya tertumpu atas talian sahaja.
“Malah tempoh yang diberikan selama sembilan hari amat singkat, seolah-olah mahu mengehadkan bilangan pengecualian yang akan diberikan kepada peminjam.
“PTPTN harus adil dan konsisten untuk membantu dan bukannya memberi beban kepada peminjam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
PTPTN meminta semua peminjam mengemaskinikan maklumat pendapatan mereka selewat-lewatnya 25 Julai ini sekiranya ingin memohon penangguhan bayaran balik pinjaman.
Peminjam boleh mengemaskini maklumat peribadi serta pendapatan bulanan di laman sesawang www.ptptn.gov.my bermula semalam dan sekiranya layak, mereka yang berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan bakal mendapat penangguhan bayaran.
Al-Yashir juga mencadangkan agar tempoh rayuan diberikan kepada peminjam sekiranya mereka gagal mendapat pengecualian melalui laman sesawang dengan hadir sendiri ke pejabat PTPTN terdekat.- UTUSAN ONLINE











