KUALA LUMPUR 26 Julai – Majikan di sektor swasta disarankan supaya memberi kelonggaran kepada para pekerja yang mempunyai anak dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dengan membenarkan mereka bekerja dari rumah atau diberi cuti.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, langkah itu penting bagi memastikan kanak-kanak yang dijangkiti wabak tersebut dapat dijaga dengan baik.
“Majikan kena membenarkan pekerja yang terbabit dapat bekerja dari rumah buat sementara waktu sehingga anak-anak mereka bebas daripada penyakit tersebut sebab kes seperti ini bukan satu dua hari simptomnya, sebaliknya akan ambil masa yang lama.
“Jadi majikan kena bertimbang rasa dengan keadaan pekerja kerana mereka pun serba salah untuk menghantar anak masing-masing ke pusat pengasuh, bimbang berjangkit kepada kanak-kanak lain,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Semalam, sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 di sini diarahkan tutup dan kesemua 36 murid bercuti 10 hari selepas empat daripadanya dijangkiti penyakit HFMD.
Dalam perkembangan sama, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut memberitahu, pusat asuhan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi memastikan semua kemudahan dan kawasan premis dibersihkan setiap hari.
“Kementerian juga menggesa sektor korporat yang menyediakan fasiliti kanak-kanak supaya membersihkan peralatan seperti troli kerana di Pulau Pinang mendapati peralatan tersebut punca jangkitan HFMD,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










